Berita

PUM anggap Dr Luqman mempunyai perwatakan, keilmuan sebagai mufti

DR. LUQMAN (duduk, dua dari kiri) bergambar bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pusat PUM. Turut kelihatan Sheikh Abdul Halim (duduk, lima dari kiri)
- Diterbit 17 Mei 2020 2:49 PM MYT

KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyifatkan pelantikan Dr. Luqman Abdullah sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu adalah keputusan yang tepat.

Yang Dipertuanya, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, pelantikan itu bersesuaian dengan ketokohan, keilmuan dan perwatakan yang dimiliki beliau.

Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut, beliau yakin anak pengasas Pondok Lubok Tapah, Kelantan itu mampu memikul amanah berkenaan sebaik mungkin.

“PUM mendoakan agar Sohibul Samahah Dr. Luqman dapat menjalankan tugas dengan baik sepanjang tempoh pelantikan beliau ke jawatan tersebut.

“PUM menyatakan komitmen bersedia untuk bekerjasama dalam apa jua perkara yang sesuai demi kemaslahatan rakyat amnya dan masyarakat Islam khususnya di tanah air ini,” kata beliau.

Semalam Wilayahku melaporkan Luqman menerima nota tugas sebagai Mufti Wilayah Persekutuan  yang baharu daripada penyandang jawatan itu, Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri yang telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Mac lalu.

Luqman yang dilahirkan pada 12 September 1969 di Kampung Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan merupakan lulusan Sarjana Muda Syariah UM dan pernah mengikuti pengajian undang-undang perbandingan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 1994-1995.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Edinburgh, Scotland pada tahun 2005 dalam bidang Undang-undang Harta Islam.

Beliau merupakan salah seorang panel utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dari 2013 hingga 2016.

Luqman turut aktif dalam PUM sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat persatuan itu.

Jawatan terakhir beliau adalah pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam UM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas