Berita

Pulihara Taman Ekologi Kina Benuwa

ROZMAN (tengah) bergambar bersama peserta Program Gotong Royong di Taman Ekologi Paya Bakau Kina bENUWA BARU-BARU INI.
ROZMAN (tengah) bergambar bersama peserta Program Gotong Royong di Taman Ekologi Paya Bakau Kina bENUWA BARU-BARU INI.
- Diterbit 19 Julai 2019 12:36 AM MYT

LABUAN – Seramai 200 sukarelawan dari pelbagai agensi berganding bahu dalam usaha memulihara Taman Ekologi Kina Benuwa melalui satu program gotong-ro­yong yang diadakan baru-baru ini.

Pengerusi Labuan Society, Wan Rahim Wan Abdul Rahman berkata, program yang bermula seawal pukul 7 pagi itu turut disertai ketua-ketua jabatan kerajaan, syarikat swasta dan pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Kami turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Labuan (PL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Program berkenaan merupakan langkah awal pihaknya untuk menjadikan taman ekologi tersebut sebagai taman rekreasi paya bakau yang mesra pengunjung dan alam sekitar.

“Selain itu, ia juga sebagai usaha untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan memulihara kawasan paya bakau Kina Benuwa,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Menurut Wan Rahim, fasa pertama program itu lebih tertumpu kepada usaha membersihkan persekitaran taman berkenaan manakala pada fasa kedua membaik pulih dan menaik taraf tapak laluan serta membina ‘gazebo’ untuk mencantikkan kawasan tersebut.

Terdahulu Rozman dalam ucapan perasmian program itu berkata, Taman Ekologi Paya Bakau Kina Benuwa merupakan satu-satunya hutan simpan paya bakau di pulau ini yang perlu dikekalkan indentitinya.

“Sebagai Hutan Simpan Paya Bakau, ia berperanan untuk melestarikan habitat haiwan yang terdapat di sekitarnya dan dapat menambah nilai eko pelancongan Labuan,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas