Berita

Program Imunisasi COVID-19 catat rekod vaksinasi tertinggi semalam

PEMBERIAN sebanyak 117,563 dos dicatatkan semalam selepas 100 hari ia dilaksanakan bermula 24 Feb lepas. Kredit foto oleh: BERNAMA PEMBERIAN sebanyak 117,563 dos dicatatkan semalam selepas 100 hari ia dilaksanakan bermula 24 Feb lepas. Kredit foto oleh: BERNAMA
- Diterbit 4 Jun 2021 8:30 AM MYT

PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi semalam dengan pemberian sebanyak 117,563 dos selepas 100 hari ia dilaksanakan bermula 24 Feb lepas.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan daripada keseluruhan dos yang diberikan semalam, seramai 109,827 individu mendapat suntikan pertama, manakala 7,736 lagi menerima dos kedua.

“Jumlah ini (pemberian dos vaksin) akan terus meningkat,” demikian menurut jawatankuasa itu menerusi laman Twitternya.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah   3,330,436.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya menyasarkan untuk memberikan 150,000 dos suntikan setiap hari bulan ini dan ditingkatkan kepada 200,000 suntikan menjelang bulan depan.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata usaha itu akan dibantu dengan penubuhan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk 1,000 klinik swasta di seluruh negara dan melalui sistem pandu lalu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas