Berita

Permaisuri Agong harap legasi seni dan budaya Malaysia terus dipertahan

RAJA Permaisuri Agong (kanan) berkenan melihat proses tenunan songket ketika berangkat ke CIMB Artober 2023 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 5 Oktober 2023 11:00 AM MYT

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan harapan baginda agar seni dan kraf Malaysia akan terus menjadi legasi pada masa depan.

Baginda bertitah jika masyarakat tidak mengambil sebarang tindakan bagi memelihara seni dan kraf negara, tidak mustahil ia akan hilang ditelan zaman.

“Kita harus berbangga dengan apa yang kita miliki. Kita memiliki pelbagai seni dan kraf yang unik dari Semenanjung Malaysia hingga ke Sabah serta Sarawak,” titah baginda pada Majlis Pelancaran CIMB Artober di sini hari ini.

Justeru, Tunku Azizah menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, terutama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), atas segala sokongan yang diberikan kepada industri itu selama ini.

“Tanpa sokongan Kraftangan Malaysia, kita tidak akan berada di tahap sekarang. Kraftangan Malaysia adalah (umpama) guru kepada setiap jenis kraf yang berbeza (di negara ini). Ini telah menyebabkan kita berupaya mengekalkan apa yang kita miliki di sekitar Malaysia,” titah baginda.

Terdahulu, Tunku Azizah berkenan menyempurnakan majlis pelancaran CIMB Artober di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Baginda turut berkenan meluangkan masa hampir sejam melawat pameran itu sebelum menyaksikan pertunjukan fesyen CIMB Artober oleh Pink Jambu, Daliey Fazdly dan Radzuan Radziwill.

CIMB Artober, yang merupakan inisiatif seni, budaya serta gaya hidup tahunan anjuran Kumpulan CIMB, kembali lagi buat kali keempat dalam usaha menyokong  industri seni kreatif kontemporari tempatan.

Ia menampilkan beberapa siri acara gaya hidup, berfungsi sebagai platform strategik untuk meningkatkan kehadiran pengamal seni dan meletakkan Malaysia sebagai pusat kreativiti yang pesat berkembang.

Pameran tiga hari itu, yang bermula esok dari 11 pagi hingga 10 malam dan berakhir pada 8 Okt, menghimpunkan artis, pereka, galeri, pelanggan serta orang ramai dalam satu festival seni yang mengasyikkan.

Inisiatif itu diketengah melalui dua platform iaitu CIMB Artober Art and Soul serta Minggu Fesyen CIMB Artober. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas