Berita

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat mulai 4 Mei

Aktiviti ekonomi libatkan perhimpunan orang ramai masih tidak dibenarkan
MUHYIDDIN ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Pekerja 2020 yang disiarkan secara langsung.
- Diterbit 1 Mei 2020 5:33 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin ini (4 Mei).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan kecuali beberapa aktiviti melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak Covid-19.

Dalam masa sama, beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.

“Saya tahu setelah hampir dua bulan menjalani PKP, ramai dalam kalangan saudara-saudari yang ingin kembali bekerja. Bagi peniaga, nak membuka semula perniagaan. Bagi pengusaha industri, nak pastikan perusahaan masing-masing dapat beroperasi semula.

“Ini penting kepada saudara-saudari kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian saudara-saudari. Kalau terlalu lama berada dalam PKP, maka terputuslah mata pencarian dan ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja 1 Mei hari ini.

Perdana Menteri berkata, atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat.

“Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal,” katanya.

Kata beliau, antara aktiviti perniagaan yang masih tidak dibenarkan ialah panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran.

Perdana Menteri berkata, langkah tersebut merupakan strategi ketiga dilaksanakan kerajaan iaitu menjana semula ekonomi secara teratur dan terkawal selepas tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan PKP dan membina ketahanan melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi berjaya dilaksanakan.

Selepas ini kata beliau, kerajaan akan melaksanakan strategi pemulihan ekonomi dalam menghadapi norma baharu dan memperkasa ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan.

“Keenam, menyusun semula struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan rakyat melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya ‘norma baharu’,” kata beliau – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas