Berita

Perdana Menteri arah semua agensi bantu Keluarga Malaysia

PRRDANA Menteri menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan bencana yang berlaku selain mematuhi setiap arahan agensi keselamatan. Kredit foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor
- Diterbit 10 November 2022 11:29 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua agensi termasuk Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada usaha membantu Keluarga Malaysia yang ditimpa musibah banjir.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Ismail turut mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera dan Angkatan Pertahanan Awam ke lokasi terjejas banjir bagi memindahkan mangsa.

“Saya menerima laporan beberapa kawasan di Selangor dinaiki air sejak semalam… Pastikan operasi menyelamat mangsa berjalan dengan lancar, stok makanan dan pengangkutan telah bersedia sepenuhnya,” kata beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan bencana yang berlaku selain mematuhi setiap arahan agensi keselamatan selain peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia bagi membuat persediaan awal.

“Sama-sama kita berdoa agar bencana alam ini segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat,” tambah beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas