Berita

Perbadanan Labuan anjur sesi temu pelanggan bersepadu minggu hadapan

- Diterbit 24 Julai 2023 5:48 AM MYT

PERBADANAN Labuan (LC) akan buat pertama kalinya menganjurkan sesi bertemu pelanggan secara bersepadu melibatkan penyertaan dan kerjasama kesemua agensi kerajaan di pulau bebas cukai itu, pada 29 dan 30 Julai, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Rithuan Ismail.

Beliau berkata program yang akan berlangsung di Kompleks ‘Financial Park’ di sini itu, bertujuan untuk mempertingkatkan lagi interaksi antara rakyat dan kerajaan, dalam menangani masalah dan isu dibangkitkan masyarakat dengan lebih berkesan.

“Rakyat disediakan platform untuk menyatakan pendapat mereka, menyelesaikan masalah dibangkitkan dan mengemukakan cadangan terbaik untuk memperbaiki tadbir urus. Sebelum ini program seumpamanya diadakan secara berasingan oleh agensi tertentu dan hasil penyelesaiannya sering kali terhad,” katanya Bernama di sini.

Rithuan berkata sepanjang program berkenaan, para hadirin akan dapat berdailog tercara terbuka dengan pegawai daripada pelbagai jabatan, menangani pelbagai topik berkaitan pihak berkuasa tempatan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, keselamatan dan lain-lain.

“Dengan melibatkan kesemua agensi kerajaan dalam sesi ini di bawah satu bumbung, kami menunjukkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap keterangkuman, ketelusan dan tindakan secara kolektif.

“Matlamat kami, ialah menjadi lebih responsif dan berpaksikan rakyat yang secara bersama menangani masalah dihadapi masyarakat,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas