Berita

Perancang bandar bertauliah penting dalam pembangunan Kuala Lumpur – Datuk Bandar

MENURUT Mahadi, meskipun pemasangan struktur tersebut bersifat kekal, orang awam masih dibenarkan menggunakan Padang Merbok dengan kebenaran secara berjadual.
- Diterbit 18 Januari 2021 8:27 AM MYT

DATUK Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah menyifatkan sumbangan kepakaran perancang bandar amat signifikan dan bermakna dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya sejahtera dan makmur untuk semua.

Beliau berkata pembangunan yang pesat di ibu negara perlu diurus tadbir dengan bijak berpandukan pelan pembangunan yang disediakan oleh perancang bandar bertauliah.

“Pendekatan ‘agile planning’ wajar diguna pakai oleh perancang bandar dalam penyediaan pelan pembangunan. Di Kuala Lumpur, pelan pembangunan telah diwartakan iaitu Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (PSKL2020) dan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020).

“Pelaksanaan pelan pembangunan berkanun ini sangat mencabar dan memerlukan sumbangan perancang bandar bertauliah,” katanya dalam video ucapan bersempena 100 tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia yang disiarkan di laman Facebook PLANMalaysia, di sini hari ini.

Mahadi berkata pelan pembangunan berkenaan perlu disediakan dengan pantas agar kerancakan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur tidak terbantut.

“Terjemahan yang tepat ke atas peruntukan-peruntukan pelan pembangunan Kuala Lumpur hanya mampu dilaksanakan oleh perancang bandar bertauliah.

“Kejayaan penterjemahan matlamat pembangunan mampan ini akan menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya rendah karbon, berdaya tahan, pintar selain menjadi bandar raya untuk semua,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah PlanMalaysia Dr Shamsaini Shamsuddin berkata profesion perancang bandar telah melalui satu evolusi daripada perancangan bandar baharu iaitu Kuala Kubu Bharu hinggalah kepada perancangan bandar raya pintar yang terkini, merentasi beberapa zaman dan generasi.

“… dari segi perancangan ini, kita semestinya hendaklah menghala kepada perancangan mampan dengan mengambil kira keadaan semasa dan situasi yang bakal berlaku pada masa depan,” katanya yang berharap agar segala perancangan bandar yang dibuat dapat memenuhi keperluan masyarakat pada masa akan datang. -BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas