Biz

Penyelidikan saintifik perkukuh jenama Nano Cosmetics

|||||
- Diterbit 22 Februari 2023 1:10 AM MYT

BERPENGALAMAN mencatat jualan dalam jumlah yang besar dengan melibatkan nilai sehingga jutaan ringgit pastinya membolehkan seseorang individu itu diberi keyakinan untuk mengemudikan operasi perniagaan sesebuah syarikat.

Bukan semua kakitangan khususnya dalam bahagian pemasaran dan promosi mampu mencapai rekod terbaik itu tetapi itulah kelebihan yang ada pada Nur Amalia Abdullah, 43, yang kini menjawat jawatan penting dalam sebuah syarikat pengeluaran produk penjagaan kecantikan yang sedang meningkat naik kini.

NUR Amalia (dua dari kanan) bersama duta syarikat, Nadya Syahera (kanan) serta pengedar yang diraikan pada majlis pelancaran Nano Cosmetics di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak itu kini diberi kepercayaan duduk di kerusi Pengurus Besar Nano Cosmetics HQ yang berperanan besar untuk memastikan segala operasi syarikat yang telah beroperasi sejak tahun lalu berjalan lancar serta berterusan merancang pengembangan perniagaan ke tahap yang lebih baik.

Melalui sokongan daripada kakitangannya, Nano Cosmetics menyusun strategi untuk merancang operasi perniagaan, pengeluaran, promosi dan merekrut usahawan baharu mengorak langkah untuk mengukuhkan jenama bukan sahaja di pasaran domestik tetapi juga di luar negara.

Beliau yang telah berkhidmat selama hampir 21 tahun dalam pelbagai bidang pekerjaan dalam sektor swasta mula mencuba nasib melangkah ke dalam industri pengeluaran produk penjagaan kecantikan dan kesihatan sejak tiga tahun lalu.

Ternyata langkah kanannya itu menjadi kerana beliau memang meminati bidang perniagaan tetapi sebelum ini hanya boleh dibuat secara separuh masa untuk menambah duit poket bulanan.

Pengalaman dan minatnya khusus dalam memperoleh kontrak jualan bernilai tinggi melalui transaksi perniagaan kepada perniagaan (B2B) membolehkan Nur Liyana mampu mengemudikan sebuah syarikat untuk melatih lebih ramai usahawan di bawah jenama Nano Cosmetics.

Banyak perancangan yang sedang diatur bagi memastikan syarikat kukuh mendepani cabaran persekitaran ekonomi yang perlahan tetapi kuasa beli masyarakat tetap ada dalam pembelian barangan kegemaran masing-masing khususnya wanita yang taksub membeli produk penjagaan kecantikan dan penjagaan kesihatan.

Mengambil peluang daripada permintaan yang ada itu, syarikat yang kini tertumpu menawarkan produk berasaskan nano dan bioteknologi khususnya daripada ekstrak tumbuh-tumbuhan dari hutan hujan bagi menyediakan produk yang penjagaan kulit yang selamat, boleh dipercayai dan berkesan.

“Kami percaya kepada konsep Science Knows Best dan menggunakan hasil penyelidikan saintifik terkini untuk memilih bahan aktif terbaik daripada herba hutan dan bahan aktif kosmetik untuk membantu menyelesaikan masalah kulit tertentu.

“Melalui konsep tersebut dan inovasi saintifik Nano Emulsion, syarikat menawarkan serum wajah dan masker wajah Bio Cellulose Double ASkin Brightener dan Double R Skinsaver sebagai kunci kepada kulit wajah berseri, segar dan sihat.” katanya.

SESI bersama para media yang hadir

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Nano Cosmetics di sebuah pusat beli-belah di sini baru-baru ini.

Nur Amalia menjelaskan, formulasi unik produk syarikat diperoleh memiliki kekuatannya sendiri hasil daripada penyelidikan nanoteknologi daripada pusat penyelidikan universiti tempatan yang berjaya menghasilkan formulasi serum untuk wajah dan masker wajah dengan anti oksidan, phytonutrients serta bahan aktif daripada manggis dan nanas.

Tambah beliau, bagi memudahkan pengguna memilih produk yang bersesuaian, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu Double A yang terdiri daripada serum muka dan masker wajah untuk mereka yang ada masalah jerawat dan Double R pula terdiri daripada serum muka dan masker wajah untuk menyelesaikan masalah kulit berjeragat.

Kedua-dua produk yang memfokuskan kepada kumpulan pelanggan tertentu itu menawarkan harga yang sangat berpatutan iaitu serendah RM35 iaitu harga promosi sempena pelancaran baharu manakala pek promo yang terdiri daripada satu unit serum dan dua masker di dalam satu kotak cenderahati pula dijual pada harga RM90.

Wanita ini berkeyakinan melalui strategi pemasaran, testimoni pengguna sedia ada dan pelantikan duta baharu syarikat iaitu selebriti Nadya Syahera bakal melonjakkan lagi jualan pada tahun ini dan akan datang.

Selain itu, beliau turut merancang program untuk melancarkan beberapa produk asas penjagaan kecantikan yang lain seperti pencuci muka dan juga pelembap dan juga sunscreen bagi melengkapkan lagi keluaran produk di pasaran untuk memenuhi keperluan pelanggan.

Selain itu, Nur Amalia menjelaskan, syarikat akan memfokuskan kepada program promosi secara online dan offline di pasaran selain mahu menambah jumlah stokis dan pengedar serta dropship bagi membantu meningkatkan perolehan jualan syarikat sekali gus membantu usahawan di bawahnya menjana pendapatan stabil setiap bulan.

“Kami membuka peluang perniagaan tanpa modal kepada usahawan khususnya wanita dengan bermula dari kosong meskipun tanpa pengalaman.

“Syarikat juga mahu membantu wanita berkerjaya untuk menambah sumber pendapatan, memperbaiki taraf kehidupan mereka agar lebih baik kerana wanita adalah penyumbang kepada kehidupan yang selesa dalam sesebuah keluarga,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya juga mahu mengubah minda wanita untuk mencipta kerjaya terjamin dalam dunia perniagaan.

Sumber: Kosmo

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas