Berita

Penubuhan Pusat Bantuan Guaman Syarie tepat pada masa, bantu B40 – NGO WANITA

KERAJAAN (NGO) memperkasa wanita menyifatkan penubuhan pusat itu sebagai langkah pertama bagi membantu golongan terbabit memahami hak-hak mereka dan seterusnya mendapat pembelaan sewajarnya. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 25 Mac 2022 3:01 AM MYT

PENUBUHAN Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) yang bermatlamat memastikan umat Islam di negara ini terutama golongan B40 termasuk ibu tunggal diberi akses kepada keadilan khususnya di Mahkamah Syariah adalah tepat pada masanya.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) memperkasa wanita menyifatkan penubuhan pusat itu sebagai langkah pertama bagi membantu golongan terbabit memahami hak-hak mereka dan seterusnya mendapat pembelaan sewajarnya.

Pengarah Pembangunan Kapasiti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Nazreen Nizam berkata penubuhan pusat tersebut dapat membela nasib ibu-ibu tunggal dan anak mereka daripada terus ditindas tanpa mendapat pembelaan adil.

“(Kita) Sedia maklum, sekiranya seorang isteri yang ingin memohon hak nafkah mereka atau hak nafkah anak, mereka perlu ke mahkamah untuk memfailkan tuntutan dan kos guaman bukanlah murah.

“Dengan adanya pusat guaman yang boleh membantu, maka lebih ramai isteri dan anak-anak teraniaya yang kurang kemampuan boleh mendapat hak mereka sewajarnya,” katanya kepada Bernama.

Advokasi, Perkhidmatan Undang-undang dan Pengurus Penyelidikan Sisters in Islam Adam Idris pula berpandangan mekanisme pelaksanaan BAGUS perlu diperincikan memandangkan terdapat agensi lain yang mempunyai skop tugas yang hampir sama iaitu Jabatan Bantuan Guaman bagi bantuan guaman kes-kes syariah.

“Pusat Bantuan Guaman Syarie mestilah mempunyai satu piagam yang jelas tentang penubuhannya dan ia dikendalikan di bawah kerajaan Persekutuan supaya tidak bercanggah dengan bidang kuasa agensi-agensi lain.

“Pusat ini perlu sentiasa berunding dengan pihak berkepentingan seperti organisasi masyarakat sivil (CSO) wanita, pakar-pakar perundangan dan peguam,” katanya dengan menambah pusat itu perlu mengeluarkan statistik dan analisis kes bagi tujuan pemantauan.

Senada dengan beliau, Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (WITUS) Sheila Tukimin berkata penubuhan BAGUS dapat memberikan kelegaan kepada ibu-ibu tunggal bagi memastikan nasib mereka dan anak dibela dengan bantuan guaman yang diberikan.

Bagaimanapun, beliau berkata bidang tugas pusat berkenaan perlu diperhalusi dan dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi menggerakkan pusat bantuan guaman itu, pihak berwajib perlu mengadakan libat urus dengan individu berkenaan khususnya ibu-ibu tunggal yang dianiaya bagi mendalami masalah mereka.

Mengulas mengenai cadangan kerajaan supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak, Sheila berkata ini dapat membantu menyelesaikan isu berkaitan nafkah yang membelenggu ibu-ibu tunggal dan anak sehingga memberikan tekanan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

“Masalah (urusan tuntutan nafkah) ini sudah terlalu lama dan ramai wanita memilih untuk tidak memfailkan penceraian kerana proses di mahkamah yang mengambil masa panjang sampaikan bekas isteri dan anak-anak tak dapat keadilan,” katanya.

Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor mengumumkan penubuhan BAGUS dan cadangan kerajaan supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas