Berita

PENJANA bantu usahawan spa, butik bangkit teruskan perniagaan

|
- Diterbit 23 September 2020 4:43 AM MYT

SETELAH 13 tahun menjalankan perniagaan spa dan butik, Siti Karimah Saharani, sama sekali tidak menyangka ‘kehadiran’ pandemik COVID-19 telah menjejaskan pendapatannya sehingga mencecah 70 peratus sebulan.

Pada kebiasaannya, Siti Karimah, 43, mampu meraih pendapatan RM10,000 sebulan, namun, sejak enam bulan lepas, perniagaan beliau di sebuah pusat beli-belah di sini, umpama dibadai ombak sehingga terpaksa ditutup operasinya.

Ini berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini yang menuntut sebahagian premis perniagaan ditutup sementara waktu, sebelum dibenarkan beroperasi semula mengikut prosedur operasi standard.

Siti Karimah mengakui bahawa beliau, seperti peniaga lain, bukan sahaja berasa gusar dan sedih, namun, turut tertekan kerana pendapatan untuk menyara keluarga terjejas akibat perniagaannya tidak dapat dijalankan seperti biasa.

“Saya rasa gusar, sedih, tertekan pun ada. Susah hati, takut sebab kedai ditutup dan macam mana (perniagaan) kalau PKP dipanjangkan. Memang ketika itu ada simpanan, cuma yang kita khuatir tiada pusingan modal untuk membeli peralatan atau barangan spa terutama yang sudah tamat tempoh,” katanya kepada Bernama.

Bagai cahaya di hujung terowong, Siti Karimah akhirnya menarik nafas lega selepas mendengar Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diumumkan kerajaan bagi membantu usahawan kecil memulihkan perniagaan yang terjejas akibat COVID-19.

Ibu lima anak berasal dari Tuaran itu mengambil peluang memohon inisiatif berkenaan menerusi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro dan gembira kerana permohonannya diluluskan sekali gus menerima RM10,000, tiga minggu selepas memohon secara dalam talian.

“Saya sangat bersyukur dan gembira. Inisiatif ini (PRIHATIN dan PENJANA) sedikit sebanyak memberi harapan untuk saya menjana semula pendapatan dan saya boleh memulakan perniagaan.

“Saya harap perniagaan akan pulih seperti biasa macam dahulu, hasil jualan meningkat dan lebih ramai pelanggan boleh datang,” katanya, yang memulakan perniagaan spa dan butik sejak 2007 kerana minatnya dalam bidang kecantikan.

Siti Karimah merupakan antara 3,695 usahawan PKS Mikro di Sabah yang telah mendapat kelulusan Pinjaman Mikrokredit BSN dan TEKUN di bawah pakej PRIHATIN dan PENJANA, berjumlah RM45.4 juta. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas