Berita

Pendidikan anak-anak orang asli diberi perhatian

ISMAIL Sabri bersama masyarakat Orang Asli pada program ramah mesra bersama penduduk Kampung Bongkok di Bilik Gerakan Kampung Bongkok di Bera hari ini. Kredit foto: Kosmo
- Diterbit 11 November 2022 10:21 AM MYT

BEBERAPA inisiatif akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk membela kehidupan masyarakat termasuklah sektor pendidikan dalam kalangan anak-anak masyarakat orang asli.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan taraf pendidikan anak-anak masyarakat itu.

“Antaranya kerajaan akan mewujudkan sebuah tadika di perkampungan orang asli termasuk sekolah rendah berdekatan penempatan mereka sehingga isu keciciran sekolah rendah di kawasan itu hampir tiada.

“Selain itu, Yayasan di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menaja sekurang-kurangnya 10 orang anak orang asli untuk menyambung pengajian di luar negara malah kerajaan juga akan menyediakan skim galakan pendidikan orang asli di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya dalam sidang akhbar pada programa ramah mesra bersama penduduk Kampung Bongkok di Bilik Gerakan Kampung Bongkok, hari ini.

Tambah beliau, bagi mana-mana pelajar orang asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama pula akan menerima kadar bantuan dari RM9,560 hingga RM11,200 setahun.

“Di peringkat diploma, peruntukannya sebanyak RM8,160 hingga RM8,360 setahun; peringkat sijil dan pra-diploma adalah RM3,500 manakala peringkat Matrikulasi dan Asasi pula RM3,000 setahun serta peruntukan sebanyak RM390 setahun untuk bantuan keperluan asas ke maktab perguruan,” katanya.

Bagi pendidikan pelajar sekolah pula, Ismail Sabri berkata kerajaan turut memperuntukkan tambang pengangkutan; wang saku pelajar sekolah menengah; bekalan catuan makanan pagi untuk murid di pedalaman; keperluan penjagaan diri di asrama serta bayaran yuran bagi pelajar yang tidak menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) serta pakaian seragam sekolah untuk murid darjah satu dan pelajar tingkatan satu.

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan kerajaan ini adalah selaras dengan peruntukan RM305 juta dalam Bajet 2023 yang merangkumi program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup serta Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 216 tanah orang asli sudah diwartakan setakat ini, 427 lagi dalam permohonan dan 117 lagi belum mengemukakan permohonan.

“Kerajaan juga memberi bantuan berupa peralatan, bahan input pertanian kepada golongan miskin atau miskin tegar orang asli menerusi Program Peningkatan Pendapatan kepada golongan miskin tegar bagi membolehkan mereka meningkatkan pendapatan.

“Projek Tanam Semula Komersial (TSK) bagi membangunkan tanah masyarakat Orang Asli dengan tanaman kelapa sawit dan getah secara komersial serta memberi pulangan hasil kepada peserta-peserta projek,” katanya.

Selain itu, kerajaan akan melaksanakan Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli merangkumi kerja-kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit yang akan memanfaatkan lebih 2,100 orang asli antaranya di Kemaman, Terengganu; Bera, Pahang dan Gua Musang, Kelantan.

“Kerajaan juga akan mempergiat Program Pembangunan Usahawan Orang Asli bagi menyediakan bantuan peralatan perniagaan dan bimbingan keusahawanan kepada 550 orang asli,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas