Berita

Pendapatan iklan: Organisasi media jadi teraju, KKD sedia bantu

- Diterbit 17 November 2023 11:30 AM MYT

ORGANISASI media Malaysia boleh menerajui perkongsian pendapatan pengiklanan dengan platform media sosial global dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersedia untuk membantu, kata Menterinya, Fahmi Fadzil.

“Saya fikir ini adalah sesuatu yang boleh dilakukan organisasi media secara langsung dengan platform berkenaan (media sosial). Kami sedia membantu.

“Bagaimanapun, pada masa ini saya tidak menjangkakan bahawa kita akan bertindak seperti negara lain (yang mengambil tindakan perundangan),” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30 di sini.

Fahmi berkata beliau telah menyampaikan perkara mengenai perbelanjaan pengiklanan semasa libat urus dengan syarikat gergasi media sosial seperti TikTok dan Google baru-baru ini.

“TikTok, Meta dan Google (dan platform lain yang serupa) ialah organisasi penting untuk berbincang bersama-sama beberapa isu berkenaan perbelanjaan pengiklanan.

“Saya telah menyampaikan kepada setiap organisasi (TikTok, Google, Meta) bahawa saya ingin mengadakan libat urus konstruktif yang positif dengan organisasi media,” katanya dan menambah platform media sosial berkenaan bersedia untuk membincangkan isu itu.

Beliau turut mencadangkan satu dana khusus boleh disediakan untuk membantu organisasi media dalam transformasi digital yang sedang berlaku.

“Ada beberapa negara seperti Taiwan menyaksikan penubuhan dana yang dapat membantu organisasi media melakukan transformasi termasuk mencari cara penyampaian yang baharu dan juga sumber pendapatan baharu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Malaysia boleh mengambil tindakan perundangan sama seperti Australia, Fahmi berkata secara umumnya, terdapat libat urus yang positif dan membina bukan sahaja dengan TikTok, tetapi juga Google dan Meta di Malaysia.

“Saya lihat mungkin pada ketika ini tidak perlu kita ambil tindakan seperti negara lain. Saya tidak hanya maksudkan Australia. Sebab itulah saya pernah katakan di Parlimen.

“Bagi Malaysia, kita tidak semestinya meniru atau mengikut apa yang dilakukan negara lain. Kita akan mencari dan memilih jalan yang sesuai dengan spesifikasi dan konteks Malaysia,” katanya.

Penggubalan undang-undang, kata Fahmi akan menjadi langkah terakhir dan Malaysia berhak melakukannya.

“Tetapi, demi keadilan, saya fikir mungkin adakan perbincangan dengan organisasi berkenaan (terlebih dahulu),” katanya.

Fahmi kini berada di San Francisco dan merupakan antara delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30, yang berakhir hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas