Berita

Pembinaan blok tambahan HTAN bernilai RM139.35 juta bermula esok – Eddin Syazlee

- Diterbit 9 Mac 2021 7:21 AM MYT

PROJEK pembinaan bangunan blok tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bernilai RM139.35 juta akan bermula esok dan dijadualkan siap pada Ogos 2024 .

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata skop projek bangunan tambahan hospital itu melibatkan pembinaan berkeluasan lantai 22,700 meter persegi di atas tanah seluas 1.7 hektar (4.18 ekar).

Beliau berkata pembinaan blok bangunan utama enam tingkat itu akan memberi penambahbaikan fungsinya sebagai hospital pakar residen yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan sekunder di sekitar Kuala Pilah, Jempol, Jelebu dan Tampin serta kawasan bersempadan dengan Pahang.

“Dengan pertambahan 114 katil untuk projek ini, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan katil di HTAN berkapasiti 458 katil.

“Projek ini juga dilaksanakan secara reka dan bina serta tender terbuka pra kelayakan,“ katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan pecah tanah projek pembinaan bangunan tambahan HTAN di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang.

Eddin Syazlee berkata antara kemudahan utama di blok tersebut seperti Jabatan Kecemasan dan Trauma, Klinik Pakar (Ortopedik, Oftalmologi dan Pembedahan), wad pesakit dalam (144 Katil), dewan bedah, Jabatan Bekalan Bahan Steril, Unit Respiratory dan HemodinamiK, Unit Rawatan Rapi (ICU), Farmasi Pesakit Luar dan Farmasi Satelit, Jabatan Pengimejan dan klinik penjagaan harian.

Selain itu, komponen sokongan lain adalah 750 lot tempat letak kereta, kolam tadahan, loji rawatan kumbahan dan landskap.

Jelasnya objektif pelaksanaan projek itu adalah untuk menyediakan prasarana bagi perkhidmatan perubatan bercorak penggalakkan, pencegahan, rawatan, pemulihan yang cekap, sesuai dan berkesan kepada masyarakat dengan jaminan kualiti, kos serta masa yang efisien.

“Ini bukti komitmen kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan memberi manfaat berganda kepada peningkatan taraf kesihatan penduduk setempat supaya dapat menerima kemudahan kesihatan yang kondusif dalam suasana moden dan selesa,” katanya.

Sementara itu, Eddin Syazlee berkata kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM140 juta bagi menaik taraf Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan kira-kira RM100 juta untuk Hospital Port Dickson. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas