Berita

Peluang pekerjaan bersama MARii di Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia

MARii menawarkan program pelatih menerusi dua program modal insan utama iaitu ICE dan IPC buat graduan kejuruteraan. MARii menawarkan program pelatih menerusi dua program modal insan utama iaitu ICE dan IPC.
- Diterbit 14 Disember 2021 12:30 PM MYT

PELUANG pekerjaan khusus buat graduan kejuruteraan bersama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) ditawarkan di Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia.

Ia adalah menerusi dua program modal insan utama iaitu Program Kejuruteraan Pensijilan Industri (ICE) dan Program Sijil Profesional Diterajui Industri (IPC).

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan MARii, berkata program ICE dibangunkan sebagai mengiktiraf keperluan untuk memenuhi permintaan modal insan berkemahiran industri.

“Program ICE terdiri daripada pendedahan intensif selama enam bulan kepada pelbagai set kemahiran dan pengetahuan dalam industri automotif.

“Pelatih dilengkapi dengan kemahiran dalam reka bentuk produk dan proses, serta proses pembuatan dan sistem pengurusan kualiti. Para pelatih juga didedahkan secara langsung kepada budaya kerja dalaman industri melalui hubungan langsung dengan syarikat automotif,” katanya.

MARii merupakan institut latihan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang berfungsi untuk memacu pembangunan sistem pintar strategik dan operasi melalui pemanusiaan dan penggunaan platform pintar, aplikasi dan teknologi digital seperti Analisis Data Besar serta Kecerdasan Buatan.

Tambahnya, bagi program IPC pula, ia diadakan menerusi kerjasama dan rundingan terus dengan pemain industri dan bertujuan melahirkan pengendali mahir melalui modul khusus industri dan latihan sambil bekerja.

“Inisiatif IPC adalah untuk mengisi jurang yang dihadapi oleh industri melalui pembangunan tenaga kerja tempatan mahir yang dapat memenuhi persekitaran pembuatan kenderaan dan komponen yang sentiasa mencabar, yang berkembang pesat dalam kerumitan teknologi yang lebih tinggi.

“Struktur program IPC yang ditakrifkan memberi tumpuan kepada penghasilan tenaga kerja berbilang kemahiran yang dibuat khusus untuk semua industri pembuatan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya sepanjang 24 hari program IPC berlangsung, pelatih akan didedahkan kepada pengetahuan industri, kemahiran handson dan budaya kerja industri pembuatan.

“Pelatih akan diserap ke dalam industri sama ada dalam automotif, elektrik dan elektronik juga perkhidmatan.

“Disebabkan pendedahan ini, kebanyakan garduan IPC memasuki tenaga kerja dengan gaji permulaan yang lebih tinggi,” jelasnya.

Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia di 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia telah berlangsung di Dewan 6, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bermula 9 pagi hingga 5 petang, dari 9 sehingga 11 Disember 2021. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas