Berita

Peguam didakwa lagi perdaya anak guamnya

- Diterbit 2 Disember 2020 8:43 AM MYT

SEORANG peguam yang didakwa atas empat pertuduhan menipu anak guamnya berhubung kes penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam, didakwa sekali lagi atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

P. Nagarajan, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Manira Mohd Noor.

Tertuduh didakwa memperdayakan anak guamnya untuk mempercayai bahawa dia telah membantu mangsa untuk tidak ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan penyelewengan dana PTPK sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang berjumlah RM73,000.

Nagarajan dituduh melakukan perbuatan itu di kawasan parkir kenderaan di tepi jalan 3/109f, Taman Danau Desa di sini, pada 2 petang, 15 Sept 2017, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah mengguna pakai jumlah jaminan dan syarat-syarat tambahan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tertuduh.

“Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Pihak kami juga memohon untuk kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dibicarakan bersama-sama dengan empat pertuduhan lain kerana ia berkaitan,” katanya.

Perkara tersebut tidak dibantah peguam Vikraman Rajo yang mewakili tertuduh.

Manira kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mengguna pakai jumlah jaminan serta syarat tambahan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dan memindahkan kes itu ke mahkamah sama (Mahkamah Sesyen Shah Alam).

Semalam di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Nagarajan mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menipu anak guamnya berhubung kes penyelewengan dana PTPK dan Hakim Rozilah Salleh menetapkan 22 Jan depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas