Berita

Peguam Negara putus tiada kes enam kertas siasatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim – SPRM

- Diterbit 24 Januari 2024 5:06 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah membuat tohmahan mengatakan bahawa SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid terhadap Datuk Seri Anwar lbrahim.

Menurut kenyataan, SPRM berkata berdasarkan rekod, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, telah membuka sebanyak enam kertas siasatan untuk menyiasat Datuk Seri Anwar susulan akuan bersumpah Datuk Abdul Murad yang telah dikeluarkan pada 26 Oktober 1999.

“Siasatan telah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan Bank Negara Malaysia termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura. Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Datuk Seri Anwar.

“Sehubungan itu, enam kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 dan Pejabat Peguam Negara telah memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.

Justeru, SPRM ingin menekankan bahawa dakwaan BPR/SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Anwar berhubung akuan bersumpah Datuk Abdul Murad adalah tidak benar sama sekali malah perkara tersebut berlaku semasa kepimpinan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu pada Isnin, bekas Perdana Menteri dua kali itu membuat kenyataan media berikutan siasatan yang dijalankan SPRM terhadap anak beliau.

Mahathir turut mendakwa SPRM tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung akuan bersumpah Abdul Murad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas