Berita

Pasar Borong KL – 118 pekerja disahkan positif COVID-19

SANTHARA
- Diterbit 19 Januari 2021 1:05 PM MYT

PASAR Borong Kuala Lumpur ditutup buat sementara waktu bermula semalam sehingga 22 Januari bagi membolehkan proses nyah kuman dilakukan setelah 118 pekerja pasar itu telah didapati positif COVID-19.

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt seperti dilaporkan oleh The Star, menyebut, daripada jumlah itu, seramai 31 pekerja di bahagian sayur dijangkiti, manakala 87 pekerja lagi di bahagian ikan.

“Kami melantik makmal swasta bagi melakukan proses RT-PCR (ujian calitan COVID-19) kepada para pekerja, hasil daripada keputusannya telah dikongsi dengan tiga lagi persatuan di sini.

“Pekerja bahagian buah pula menjalani ujian yang sama semalam (Isnin) keputusannya dijangkakan diperolehi pada Khamis ini,” katanya seperti yang dilaporkan akhbat tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, bahagian jualan ikan pasar tersebut turut ditutup sementara waktu untuk proses nyah kuman dan dijangka kembali beroperasi pada 22 Januari ini.

Wong menjelaskan, satu mesyuarat melibatkan persatuan terbabit, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diadakan pada esok (Rabu).

Mesyuarat tersebut katanya, untuk memutuskan sama ada seluruh Pasar Borong berkenaan perlu ditutup, atau sebaliknya.

“Susulan itu, kami telah maklumkan kepada ahli persatuan bahawa operasi pasar ini akan ditutup pada Khamis, bagi membolehkan mereka semua menguruskan bekalan sebaiknya.

“Dengan melihat situasi semasa, bahagian sayur juga dijangka ditutup beberapa hari bagi tujuan pembersihan dan proses nyah kuman. Akan tetapi, ia tidak ditutup sepenuh,” jelasnya. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas