Berita

Pameran Seni Amal, bantu kumpul dana buat Pengasih Malaysia

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 22 November 2023 6:05 AM MYT

MEMILIKI jiwa yang besar dan aktif dalam membantu komuniti di sekelilingnya mendorong bekas pemilik restoran ini melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan.

Bagi Datuk Kamisah Mohd Nor, 69, aktiviti itu adalah pendekatan murni yang ‘dekat di hatinya’, sehingga sanggup berkorban demi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Tidak hairanlah, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini menjadi antara sukarelawan tetap bersama Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), sejak 12 tahun lepas.

“Saya bermula di Pengasih selepas melawat sahabat di sini. Ketika itu, saya dibawa melawat ke seluruh Rumah Pengasih. Saya lihat kebanyakan penghuninya adalah golongan muda dan keadaan itu membuatkan hati saya terbuka untuk membantu,” katanya kepada Bernama.

Bermula dengan menyediakan makanan, kehadiran ibu kepada tiga cahaya mata itu cukup disenangi sehinggakan mesra disapa sebagai ‘mama’ dalam kalangan penghuni pusat rawatan ketagihan dadah berkenaan.

Bahkan, sumbangan tenaga kemanusiaan Kamisah turut mencakupi pelbagai bidang antaranya memasak, mengadakan bengkel motivasi dan nasihat serta menganjurkan pelbagai acara amal.

Terbaru, Kamisah memberanikan diri mengorak langkah dalam bidang seni apabila buat julung kalinya menjayakan Pameran Seni Amal  bersama Pengasih bertemakan ‘Kemunculan’ di Rumah Damai, Jalan Syers, di sini, bermula semalam hingga esok, bertujuan mengumpul dana buat pusat rawatan ketagihan dadah itu.

“Saya bukanlah pelukis profesional sebaliknya hanya melukis pada waktu lapang. Ia adalah hobi dan minat saya. Selama ini, saya hanya akan melukis untuk dihadiahkan kepada sahabat dan tidak pernah menjualnya dan pameran ini adalah yang pertama hasil karya saya dijual, semuanya dibuat sepenuh hati dengan kasih sayang,” katanya.

Kamisah menghasilkan 20 lukisan bercorak abstrak untuk pameran itu sejak dua bulan lepas, dengan 50 peratus daripada hasil jualan lukisannya itu akan disumbangkan kepada Pengasih.

Sementara itu, Presiden Pengasih Hafizi Harun menyifatkan pameran seni amal itu sebagai simbolik kepada penghijrahan mereka ke premis baharu dari Bukit Tunku, di sini ke Kompleks Pengasih Cinta Manis di Bentong, Pahang, pada 14 Disember ini.

“Kami ingin uar-uar pada umum, yang kami akan tinggalkan sejarah lebih 30 tahun di ibu kota dan memulakan kehidupan baharu di sana,” katanya sambil memaklumkan seramai 70 orang termasuk 50 pelanggan akan berpindah.

Untuk itu, Hafizi berkata pihaknya memerlukan dana tambahan antara RM200,000 hingga RM300,000 bagi melengkapkan fasiliti di kompleks berkenaan yang boleh memuatkan sehingga 200 penghuni.

“Buat masa ini, kami ada tiga blok asrama, dewan makan, kuarters petugas dan surau. Kami masih memerlukan dewan serbaguna, klinik, perabot, peralatan dan perkakas dapur selain dibebani dengan kos perpindahan, operasi, pembiayaan dan sebagainya.

“Adalah menjadi harapan kami agar ramai lagi tidak kira individu, masyarakat umum atau syarikat korporat, sudi membantu menyumbang kepada Pengasih. Kami juga mengalu-alukan penglibatan daripada orang awam bagi menjadi ahli sukarelawan kepada Pengasih,” katanya.

Menurutnya, hampir 2,000 klien telah dibantu dan dirawat sejak penubuhan Rumah Pengasih pada 1993 dan berharap dengan perpindahan ke lokasi baharu itu dapat meningkatkan perkhidmatan sekali gus memberi pelbagai manfaat kepada mereka yang memerlukan.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pameran seni amal itu boleh melayari laman web di www.pengasih.asia atau laman sosial Pengasih Malaysia di Instagram atau Facebook. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas