Berita

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bantu baik pulih kemudahan penduduk Labuan

ANNUAR (tengah) meninjau projek naik taraf Dewan Serbaguna di Taman Mutiara. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman (kanan)
- Diterbit 7 Jun 2020 3:47 PM MYT

LABUAN – Prihatin dengan nasib rakyat terjejas akibat Covid-19, kerajaan menyediakan peruntukan sejumlah RM1.5 juta untuk Tabung Penyelenggaraan Wilayah Persekutuan bagi Labuan yang disalurkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, tambahan peruntukan diberikan bagi merangsang kembali ekonomi penduduk Labuan yang terjejas teruk akibat wabak itu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Peruntukan ini digunakan untuk melaksanakan tiga projek pembaikan kerosakan am melibatkan Taman Mutiara Blok L dan M serta Perumahan Awam Taman Sungai Berdaun.

“Antara kerja-kerja yang dilaksanakan di bawah PRE 2020 ini antaranya membaik pulih Surau Ar-Rayyan dan Surau As-Syakirin di Taman Mutiara, kerja-kerja pendawaian dan baik pulih Dewan Serbaguna Taman Mutiara, penyelengaraan jalan, longkang,
pembentungan, susur tangga dan kerja-kerja lain yang berkaitan dengan Perumahan Kos Sederhana di Taman Mutiara,” katanya.

Tambah beliau, bagi Perumahan Awam Taman Sungai Bedaun, sebanyak RM500,000 telah diperuntukan untuk penyediaan tempat letak kereta,
penambahbaikan jalan konkrit serta infrastruktur awam seperti perhentian bas, tandas dan longkang.

“Semua projek pembaikan ini akan bermula bulan ini dan dijangka
selesai sepenuhnya pada Ogos depan.

“Bagi aspek pembangunan utiliti awam, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan (PL) serta Jabatan Bekalan Air (JBA) sedang dalam tindakan untuk menaik taraf infrastruktur dan kualiti bekalan air di Labuan.

“Gangguan bekalan air yang kerap berlaku berpunca daripada kerja-
kerja berkaitan infrastruktur seperti penyelenggaraan, baik pulih, naik taraf serta pemindahan paip-paip dan bukan kerana masalah ketidakcukupan sumber air,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas