Berita

Obor-obor merah terdampar di pesisir pantai Labuan

ORANG ramai melihat obor-obor merah yang terdampar di Pantai Mawilla sejak seminggu lalu.
- Diterbit 4 Mac 2020 10:45 AM MYT

LABUAN – Ribuan obor-obor merah yang jarang dilihat ditemui terdampar di sepanjang Pantai Mawilla, lokasi perkelahan yang terkenal di sini sejak minggu lepas.

Orang ramai tertanya-tanya bagaimana spesies hidupan laut yang unik itu boleh muncul di sepanjang kira-kira 400 meter pinggir Pantai Mawilla dengan Jabatan Perikanan Labuan mengkategorikannya sebagai fenomena yang jarang berlaku.

Kemunculan hidupan laut itu juga menimbulkan persoalan perlukah masyarakat takut dengannya? Dua pakar hidupan laut dari Jabatan Perikanan dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjelaskan haiwan laut itu boleh menyebabkan kerengsaan kulit, alahan dan ketidakselesaan.

Justeru masyarakat dinasihati tidak menyentuh obor-obor walaupun telah mati.

Fenomena itu dikaitkan dengan keadaan angin dan gelombang yang kuat ketika arus air Laut China Selatan di Labuan menghala ke arah selatan menyebabkan obor-obor itu itu dihanyutkan ke perairan cetek berhampiran pantai.

OBOR-OBOR merah terdampar di pantai.

Obor-obor itu telah dikenal pasti oleh pakar di Institut Penyelidikan Marin Borneo, UMS, Prof. Madya Dr. B.A. Venmathi Maran sebagai crambione mastigophora (Cnidaria, Scyphozoa) atau lebih dikenali dengan nama ‘sea tomato’.

“Spesies ini tidak diketahui mempunyai sengatan yang berbahaya kepada manusia tetapi tentakel mereka masih boleh menyengat selepas haiwan itu mati.
“Oleh kerana obor-obor adalah perenang yang lemah, ini menyebabkan ia tidak dapat menahan alunan gelombang dan dengan itu dihanyutkan ke pantai,” katanya

Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Faizal Ibrahim Suhaili ketika ditemui semasa pengambilan sampel di pantai berkenaan mengingatkan orang ramai agar tidak masuk ke dalam air berhampiran lokasi obor-obor itu terdampar kerana kemungkinan masih terdapat kumpulan hidupan tersebut di kawasan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas