Berita

Norma baharu amalan ziarah hanya raya pertama

MAJLIS Aidilfitri dilarang diadakan pada tahun ini. Gambar hiasan
- Diterbit 13 Mei 2020 12:30 PM MYT

PUTRAJAYA – Amalan ziarah-menziarahi dihadkan pada hari raya pertama Aidilfitri sahaja, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut terpakai kepada dua lagi perayaan iaitu Pesta Keamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak.

Menurut Ismail Sabri, jumlah individu dibenarkan bagi amalan menziarahi itu tidak boleh melebihi 20 orang dalam satu hari dan terhad kepada ahli keluarga terdekat.

“Bagaimanapun, jumlah 20 orang itu perlu dilihat pada saiz satu-satu rumah.
“Flat contohnya yang mempunyai saiz 600 kaki persegi menyaksikan 20 individu adalah terlalu ramai untuk penjarakan sosial dan mereka boleh hadkan kepada lima orang bagi satu-satu masa,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan norma baharu juga perlu diamalkan dengan menyediakan hand sanitizer dan memakai topeng muka.

Ujarnya, rumah terbuka dilarang diadakan selaras dalam peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Tiada hari kedua dan ketiga. Ziarah hanya hari pertama walaupun sebelum ini kita raya sebulan,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas