Selebriti

Nora Danish menangis berjaya khatam al-Quran

NORA terharu berjaya khatam al-Quran tahun ini.
- Diterbit 14 Mei 2020 8:26 AM MYT

PELAKON Nora Danish menangis kegembiraan sambil menzahirkan rasa syukur apabila dia berjaya khatam al-Quran hari ini.

Menurut Nora, 38, jadual harian yang padat sebelum ini membuatkan dia terpaksa menangguhkan niat untuk khatam al-Quran. Bagaimanapun, hikmah dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula dari 18 Mac lalu membuatkan dia tergerak hati untuk kembali melunaskan niat berkenaan.

“Hari ini hari yang paling bermakna buat Nora. Nora berjaya khatam. Dalam bulan Ramadan ini, Nora mula mengaji dan Alhamdulillah sempat habis sebelum masuk Syawal.

“Insya-Allah selepas habis PKP atau apa semua dah reda, Nora akan berjumpa dengan ustaz dan ustazah pula,” katanya sambil menangis gembira.

Menerusi perkongsian di Instagram itu, Nora turut memperdengarkan alunan surah An Nas yang dibacanya.

Tambah pelakon yang popular dengan drama Puteri suatu ketika dulu, perasaan ingin menghabiskan satu naskah Al quran itu tambah berkobar-kobar selepas melihat pelakon Elizad Sharifudin berjaya khatam sepanjang tempoh PKP ini.

“Bila lihat Instagram Elizad dah khatam during MCO, lagi berkobar jiwa raga ini. Terima kasih, awak pendorong semangat saya.

“Harap post ini akan pula membuka niat pada mereka yang lain. Sama-sama kita kongsi benda yang baik. Pada mulanya, satu muka surat nak habiskan rasa susahnya, lama-lama lima muka surat jadi 10, jadi 20, jadi 30 dan seterusnya sampai mencecah 150 muka surat satu hari.

“Sampai rasa tak sabar nak bangun tidur dan mula mengaji. Berkat doa lepas solat bersungguh-sungguh sampai menangis minta Allah berikan jalan mudah untuk mengaji,” tulis Nora panjang lebar.

Dalam pada itu, Nora turut berkongsi impiannya untuk membaca keseluruhan terjemahan isi al-Quran selepas ini. -WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas