Berita

Netizen kongsi kata semangat, gelagat murid hari pertama persekolahan

pelajar bersemangat serta teruja dapat kembali ke sekolah selepas menjalani sesi PdP di rumah sejak COVID-19 melanda dua tahun lepas.
- Diterbit 20 Januari 2021 6:31 AM MYT

“SELAMAT kembali ke sekolah dan selamat maju jaya adik-adik SPM”, itu antara kata-kata semangat yang dititipkan pengguna media sosial sempena pembukaan sekolah bagi sesi 2021, hari ini.

Sesi persekolahan secara bersemuka itu hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Pemerhatian di platform media sosial mendapati rata-rata pengguna tidak melepaskan peluang memuat naik ucapan dan kata semangat serta doa, selain menasihatkan agar semua yang terlibat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 di sekolah.

Ada dalam kalangan mereka turut berkongsi gambar gelagat anak, adik beradik, kenalan dan murid yang kelihatan ceria dan teruja untuk hadir ke sekolah masing-masing.

Pengguna Twitter @rahayu_baharin menciap “Doa dan hati bersama semua guru-guru dan anak-anak SPM & STPM yang kembali ke sekolah hari ni”.

Sementara @teacherfarieza menciap: “Buat semua calon SPM 2020 yang mula ke sekolah hari ini, jaga diri dan terus positif supaya kalian dapat menghadapi SPM dengan tenang yang akan bermula Februari nanti. #SPM2020”.

Di Facebook, terdapat juga guru yang berkongsikan perasaan teruja mereka untuk memulakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka dengan murid bagi menyambung persediaan menghadapi peperiksaan penting hujung Februari ini.

Tidak ketinggalan, beberapa program bual bicara di radio dan televisyen tempatan hari ini membincangkan topik mengenai hari pertama pembukaan sekolah, malah hos rancangan tersebut turut memakai pakaian seragam sekolah sebagai menyuntik semangat pelajar.

Sementara itu, serentak pembukaan sekolah hari ini, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut dilaksana bagi semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

Ibu bapa turut berkongsi gelagat anak-anak mereka yang bersemangat walaupun terpaksa menyertai sesi PdPr secara maya menerusi sidang video bersama guru.

“Hari pertama sekolah, sesi suai kenal dari rumah (sidang video). Baju dah beli tetap nak pakai walaupun belajar dari rumah…semangat! #duduk rumah #kitajagakita” tulis seorang pengguna Facebook yang memuat naik gelagat anaknya pada hari pertama PdPR. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas