Berita

Nazri Aziz positif COVID-19

- Diterbit 19 Januari 2021 1:35 PM MYT

AHLI Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan beliau positif COVID-19 menerusi ujian calitan yang dibuat semalam.

Bekas menteri itu berkata beliau yang kini berada di Kelantan, membuat ujian calitan COVID-19 di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu selepas seorang blogger, Zaharin Mohd Yasin yang hadir pada sidang media beliau di ibu negara pada 12 Jan lalu disahkan dijangkiti.

“Semalam, selepas saya tahu dia (Zaharin ) positif, saya segera ke hospital untuk buat ujian dan bila dapat keputusan positif, saya terus menjalani kuarantin di hospital itu.

“Saya okey, cuma ada batuk-batuk sikit semalam tapi dah bertambah baik,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai isterinya Datin Seri Haflin Saiful Azhar dan anak mereka, Mohamed Nazri berkata: “Mereka OK (baik) sahaja.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau kini menjalani kuarantin di rumahnya di ibu negara selepas menjadi kontak rapat kepada Mohamed Nazri dan Zaharin.

Menurut Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu, beliau merupakan kontak rapat setelah turut hadir ke sidang media Mohamed Nazri pada 12 Jan lepas.

Sehubungan itu, Tajuddin berkata beliau membuat ujian calitan di sebuah pusat perubatan swasta di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 3 petang tadi dan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh 24 jam.

“Saya membuat ujian ini untuk menjaga diri saya juga. Syukur kesihatan saya berada dalam keadaan baik setakat ini, ” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas