Selebriti

Nafi harga rumah puluhan juta ringgit… Siti Nurhaliza bakal kembangkan bisnes di Dubai

- Diterbit 21 Januari 2023 11:37 AM MYT

PENYANYI nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza,44, mengesahkan beliau memiliki kediaman mewah di Dubai seperti mana yang diperkatakan ramai sebelum ini.

Bagaimana pun, menjawab spekulasi harga puluhan juta ringgit rumah jenis kondominium yang dibelinya, pelantun lagu Seribu Kemanisan itu menafikannya.

“Harganya tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. Saya belum mampu lagi untuk miliki kediaman dengan harga sebegitu.

“Semua orang ada impian dan itu (kediaman) merupakan antara impian saya. Saya anggap pembelian hartanah itu adalah sebagai satu pelaburan,” katanya kepada Wilayahku.

Siti Nurhaliza ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya yang ke-44 dan penubuhan kelab peminat, Sitizoners yang ke-19, di Magica Banquet Hall, Quill City Mall, Kuala Lumpur, hari Ini.

Dalam masa yang sama, Siti memberitahu pembelian aset di Dubai itu juga adalah langkah awal untuk dirinya mengembangkan bisnes dan kerjaya nyanyian di negara Timur Tengah itu.

“Timur tengah salah satu pasaran yang pesat untuk saya cari peluang di sana. Lagi satu saya pilih kerana saya suka Dubai.

“Berkemungkinan satu hari nanti kerjaya saya akan berkembang di sana. Itu juga salah satu negara Islam yang maju.

“Segala yang terbaik ada di sana. Selain itu, saya suka dengan kepesatan dan pembangunan di sana,” katanya yang tidak bercadang untuk berhijrah ke Dubai.

Pada penghujung Disember lalu, Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin berkongsi beberapa video menunjukkan kawasan kediaman mewah jenis kondominium yang dibeli di The Address, Dubai Mall.

Malah, anak tirinya, Asyraf Khalid juga ada berkongsi hal tersebut di Instagram story miliknya dan turut menjadikan Siti sebagai sumber inspirasinya untuk berjaya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas