Berita

Nafas baharu buat peniaga sedia ada

- Diterbit 30 Januari 2024 12:05 PM MYT

PENIAGA sedia ada di Medan Selera Singgang Madani @ Batu Bata berharap suasana sepi yang menyelubungi lokasi itu akan disinari impak positif melalui pemindahan 26 penjaja daripada lokasi tapak gerai singgang yang dirobohkan di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Kampung Baru.

Menurut salah seorang peniaga yang sudah berniaga hampir 13 tahun di medan selera itu, Sumiati Sianturi, 60, lokasi tersebut kurang dikunjungi pelanggan dan lebih sunyi selepas pandemik COVID-19.

“Sebelum pandemik, medan selera ini dikunjungi ramai pengunjung tetapi selepas itu ia semakin berkurang sehinggakan hanya lima unit kedai sahaja yang dibuka daripada 40 unit yang terdapat di kawasan tersebut.

“Kalau ramai datang pun jika ada pertandingan karaoke atau sebarang majlis. Ekoran keadaan itu, saya hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM300 sehari berbanding dahulu boleh mencecah RM800.

“Kawasan ini berdekatan dengan stesen bas dan tempat pekerjaan namun ia masih kurang mendapat sambutan, kalau ada pun pelanggan biasa sahajalah,” katanya.

Justeru itu, Sumiati mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membuka kaunter tiket bas di kawasan medan selera ini sebagai langkah untuk menarik kehadiran pelanggan memandangkan ia berhampiran dengan Hab Bas Titiwangsa.

“Sekurang-kurangnya ia dapat menarik orang ramai untuk berkunjung dan menjamu selera di medan selera ini selepas membeli tiket dan sementara menunggu bas yang dinanti tiba.

“Dalam masa yang sama, isu utama di lokasi ini adalah masalah tiada parkir khusus untuk peniaga mahupun pelanggan. Jadi saya berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) khususnya membantu menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.

Sementara itu, Mawarni Mohd Kamel, 39, memuji tindakan DBKL mencari dan menyediakan ruang niaga baharu buat penjaja gerai singgang bagi meneruskan operasi perniagaan.

“Sebahagian peniaga telah pun memasukkan barang mereka ke dalam kedai namun ada sebilangan yang masih belum,” ujarnya.

Ditanya mengenai fasiliti yang terdapat di Medan Selera Singgang Madani @ Batu Bata, Mawarni berkata suasana persekitarannya adalah lebih kondusif, bersih dan teratur.

“Alhamdulillah syukur, kemudahan di sini semua lengkap, ada surau, tandas selain kawasannya bersih dan meja pun teratur,” katanya.

Terdahulu, pada Isnin (22 Januari), seawal pukul 9 pagi, DBKL telah melaksanakan kerja-kerja meroboh deretan gerai setelah mengeluarkan notis permakluman pengosongan tapak itu sejak Oktober lalu.

Medan Selera Singgang Madani @ Batu Bata, Titiwangsa sebelum ini dikenali sebagai Medan Selera Damai namun ia ditukar sejajar dengan lokasi tersebut yang terkenal dalam kalangan peminat ikan singgang di Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas