Selebriti

Nabila Razali luah kisah putus cinta dalam novel

- Diterbit 31 Mac 2022 1:53 AM MYT

SELEPAS lima bulan melancarkan single Putus, penyanyi Nabila Razali meluahkan rasa syukur apabila lagu terbaharunya itu menerima respon positif peminat dan sering dimainkan dicorong-corong radio.

Bagi meneruskan kesinambungan lagu Putus, Nabila telah melancarkan novel berjudul Kerana Cinta Itu Ada yang ditulis oleh novelis popular Sophilea.

Sophilea mempunyai peminat sendiri dalam kalangan pembaca novel dan popular dengan beberapa karya antaranya Anugerah Terindah, Kerana Kau Aku Kembali dan banyak lagi. Beliau juga dinobatkan sebagai Penulis Prolifik

Bercakap tentang idea bagi menghasilkan novel ini, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Binti Mohd Razali, 29, berkata, dia menyedari jalan cerita lagu Putus menarik untuk dikembangkan kepada sebuah naskhah novel.

“Bagi saya lagu Putus mempunyai jalan cerita yang menarik iaitu tentang seorang gadis yang nekad untuk mengakhiri hubungannya dengan kekasih yang tetap melukainya walaupun telah diberikan peluang kedua.

“Banyak lagi yang saya ingin ceritakan dalam lagu namun ianya terbatas. Jadi saya ambil peluang itu untuk mengembangkan lagi menjadi novel.

“Alhamdulillah saya bersyukur dapat bekerjasama dengan novelis terkenal Sophilea yang menunaikan impian saya untuk menjadikan ia sebagai satu karya hebat,” ujarnya.

Selain novel, Nabila juga merancang untuk mengadaptasikan karya tersebut kepada sebuah drama selepas ini.

Novel Kerana Cinta Itu Ada diedarkan oleh Mask Team dan boleh didapati secara dalam talian bermula 14 Mac lalu dengan harga RM35 bagi Semenanjung Malaysia, manakala RM38 di Sabah dan Sarawak.

Novel ini juga bakal berada di kedai buku seluruh Malaysia dalam masa terdekat.

Kerana Cinta Itu Ada mengisahkan tentang seorang gadis bernama Nabila Aulia, graduan lulusan pengurusan perniagaan yang kini mengusahakan resort keluarganya.

Ketika bekerja di situ, Nabila Aulia (ataupun lebih mesra dipanggil, Bella) telah bertemu dengan Tengku Aisy Mateen, yang merupakan anak pemilik hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Selepas beberapa pertemuan romantis yang tidak dijangka, membuatkan mereka berdua jatuh cinta.

Pada Bella, Aisy merupakan lelaki paling hebat yang pernah hadir dalam hidupnya. Manakala bagi Aisy, Nabila bukan hanya seorang gadis biasa tapi bidadari yang Allah kirimkan dari syurga. Villa Paksina menjadi saksi kisah cinta mereka.
Bagaimana dengan kisah cinta mereka? Dapatkan novel Kerana Cinta Itu Ada. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas