Artikel

MySalam sinari golongan M40

- Diterbit 14 Februari 2020 5:29 AM MYT

PENINGkATAN kos sara hidup termasuk bahan mentah semestinya memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Namun turut terkesan adalah golongan pertengahan (M40) yang berpendapatan kurang RM100,000 khususnya mereka yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sekitar Lembah Klang.

Bebanan yang dihadapi menyebabkan golongan M40 begitu mendambakan bantuan dan perhatian kerajaan seperti yang diberikan kepada B40.

Umpamanya, seperti abang sulung yang mahukan perhatian daripada ayah yang garang.

Justeru Skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (mySalam) yang diperluaskan kepada M40 disambut mesra golongan terbabit selepas ia memberi manfaat kepada kira-kira 4.3 juta rakyat daripada golongan B40 pada tahun lalu.

Pengumuman yang dibuat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 11 Februari lalu berhubung pendaftaran mySalam yang dibuka sehingga 31 Mac depan itu dijangka memberi manfaat kepada lapan juta orang pada tahun ini.

Ini kerana, skim tersebut meliputi 45 jenis penyakit kritikal dan kemasukan hospital sehingga 14 hari setahun termasuk pesakit novel coronavirus (2019-nCoV). Pesakit 2019-nCoV juga akan menerima manfaat hospital RM50 sehari bagi tempoh 14 hari.

Malah, skim mySalam yang dilancarkan pada 24 Januari tahun lalu dibuka kepada mereka yang berumur 18 hingga 65 tahun berbanding sehingga umur 50 tahun sebelum ini.

Subsidi kesihatan yang diberikan kerajaan ini merupakan inisiatif paling memberansangkan kerana kesihatan adalah antara faktor yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta ekonomi.

Jika, rakyat sakit, siapa yang akan bekerja dan memajukan negara?

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas