Berita

Muzium Labuan dicadang tapak warisan kebangsaan

AARON (tiga dari kiri) menyampaikan sijil dan trofi penghargaan
- Diterbit 8 Mac 2024 11:25 AM MYT

KEMENTERIAN Perpaduan Negara mencadangkan Muzium Labuan disenaraikan sebagai bangunan atau tapak warisan kebangsaan.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata beliau yakin usaha itu dapat dicapai menerusi kerjasama Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Jabatan Warisan Negara.

“Sejak mula ditubuhkan 20 tahun lalu iaitu pada 2004, Muzium Labuan telah berjaya menarik kehadiran kira-kira 1.15 juta pengunjung hingga tahun lepas.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan muzium dalam menyampaikan warisan kepada generasi muda.

“Justeru itu, saya percaya pengiktirafan Muzium Labuan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan bukan sahaja untuk memperkasakan warisan budaya negara, tetapi ia menjadi pencapaian yang begitu signifikan bagi seluruh penduduk Labuan sekali gus menjadikan Muzium Labuan sebagai tarikan utama pengunjung ke Labuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak @Muzium Labuan 2024 dengan tema Semarakkan Budaya, Perkasakan Komuniti, baru-baru ini.

Tambahnya, JMM akan menambah baik muzium yang ada di pulau itu dan akan bekerjasama dengan Jabatan Warisan Malaysia untuk mengiktiraf Muzium Labuan sebagai bangunan atau tapak Warisan Kebangsaan.

Mengulas lanjut, Aaron memberitahu bermula bulan April 2024 ini JMM akan melaksana Sistem Terimaan Hasil Secara Elektronik (Cashless) yang telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada 29 Disember 2023.

Muzium Negara akan menjadi projek rintis cashless seterusnya diperluas di 10 Muzium yang lain. Kaedah yang akan diguna pakai melalui pembayaran kad kredit, debit dan transaksi perbankan Internet.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan calendar acara JMM 2024 yang merangkumi 122 program untuk dilaksanakan di 22 buah muzium sebagai usaha untuk merejuvenasikan muzium agar lebih dekat dengan masyarakat.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Dasar, Jabatan Muzium Malaysia, Muhamad Shawali Badi dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas