Berita

MetMalaysia: Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula 19 September

MUHAMMAD HELMI.
- Diterbit 14 September 2023 8:43 AM MYT

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 19 September sehingga November hadapan.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata permulaan fasa tersebut menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 15 Mei lepas.

“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Helmi, keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk berwaspada dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” jelasnya. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas