Artikel

Merdeka dengan batik

BATIK dalam konteks Malaysia bukan lagi hanya mewakili budaya Melayu sahaja akan tetapi merupakan salah satu warisan.
- Diterbit 14 September 2023 4:00 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

SUATU ketika dulu sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, orang lelaki yang memakai baju batik dipanggil ‘mat belia.’ Ia membawa konotasi yang agak kurang baik kerana waktu itu ahliahli persatuan belia di kampung sangat sinonim dengan baju batik. Orang kampung sebut ‘batik cop’ kerana coraknya ringkas dan harganya pula murah.

Semasa di kampung dulu saya juga mempunyai beberapa helai baju batik cop yang coraknya hanya dua warna. Sekalipun begitu kain kapasnya sangat selesa dipakai walaupun pada hari panas. Saya suka baju batik walaupun dianggap murah kerana selesa dan ada seni pada coraknya.

Hingga kini saya terus memilih baju batik yang potongannya dipergayakan mengikut fesyen semasa. Akan tetapi coraknya tetap membawa elemen utama batik iaitu corak yang bermotif alam. Bukan batik namanya kalau coraknya bermotif benda-benda moden yang dilihat dalam kehidupan masa kini.

Pada 21 Ogos lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan peraturan baharu yang mewajibkan semua kakitangan memakai batik pada setiap Khamis. Saya menganggap peraturan itu wajar disokong tanpa berbelah bahagi. Sekalipun mewajibkan semua kakitangan awam, akan tetapi dikecualikan kepada mereka yang berpakaian seragam.

Saya bukanlah penjual baju batik, juga bukan pemilik kilang batik seperti di Kelantan dan Terengganu. Bagaimanapun saya menyokong peraturan itu kerana ia membawa perkara yang lebih besar daripada nilai ekonomi sematamata.

Ketegasan melaksanakan peraturan berkenaan membawa makna yang besar daripada sudut pembinaan peribadi dengan nilai-nilai budaya tempatan. Batik mendokong warisan budaya di kepulauan Melayu Nusantara dan negara kita sebahagian daripadanya.

Di negara kita, budaya Melayu adalah teras pada Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK 1971) dan Dasar Kebudayaan Negara (DKN 2021) yang merupakan penambahan pada DKK 1971. Maknanya budaya Melayu adalah budaya negara secara rasminya, bukan hanya budaya orang Melayu.

Hal itu membuatkan batik dalam konteks Malaysia bukan lagi hanya mewakili budaya Melayu sahaja, akan tetapi salah satu warisan dalam budaya negara. Oleh hal yang demikian, mengangkat batik sebagai pakaian rasmi kakitangan awam mempunyai asas yang kukuh dan munasabah.

Semua bangsa mesti mendokong peribadi budaya yang menaungi kehidupan mereka. Bangsa Malaysia juga tidak terkecuali dan batik menjadi salah satu daripada nilai budaya yang semestinya diangkat, dilestarikan dan dimerdekakan dari masa ke masa.

Sebenarnya peraturan baharu itu adalah satu langkah dan tanda prihatin yang sangat baik dalam konteks pelestarian budaya dan jati diri dalam kalangan rakyat. Kita mesti melihat peraturan baharu yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali itu melampaui sokongan pada industri batik di negara ini.

Sebaliknya perlu dilihat dalam ruang dan wacana budaya yang luas dalam konteks meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-66 yang baru berlalu. ‘Mewajibkan’ pakaian batik pada setiap Khamis adalah satu keberanian yang semestinya disokong atas asas pengertian pelestarian budaya.

Sekalipun begitu peraturan yang sedemikian juga diharapkan menjadi ekosistem yang kukuh pada industri batik di negara ini. Misalnya dalam tinjauan rambang yang dibuat di banyak kedai menjual pakaian batik di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu, jawapan yang diterima hampir sama – jualan meningkat dengan mendadak.

Batik adalah seni kebanggaan dan membawa identiti budaya di Kepulauan Melayu Nusantara. Malah menjadi seni tradisi di beberapa wilayah Melayu yang dipecah perintah oleh penjajah menjadi negara – terutama Malaysia dan Indonesia. Dalam kalangan Melayu Filipina juga ada seni batiknya.

Perkara yang lebih menggembirakan daripada peraturan baharu itu adalah kakitangan awam ‘digalakkan’ memakai batik pada hari bekerja selain Khamis. Sebenarnya peraturan menggalakkan pemakaian batik seminggu sekali itu bermula sejak 1985 lagi. Bagaimanapun disebabkan tidak diwajibkan, batik pun akhirnya semakin tidak dipakai di pejabat.

Digalakkan memakai batik (pada hari selain Khamis) yang ada dalam peraturan baharu itu membawa maksud perubahan pemikiran yang besar-besaran bermula dengan etika pakaian. Maknanya kakitangan awam kini mempunyai pilihan sama ada memakai kot dan tali leher atau batik.

Sebenarnya sudah cukup lama kita meneruskan warisan pemikiran penjajah – salah satunya memberikan nilai yang rasmi pada pakaian yang sama sekali bukan dari Kepulauan Melayu Nusantara.

Kot dan tali leher daripada sudut alamnya memang tidak sesuai langsung dengan negara kita yang berada di garis khatulistiwa. Budaya asal memakai kot dan tali leher di negara beriklim sejuk. Iklim tropika sangat tidak sesuai dengan baju yang berlapis-lapis dan leher pula diikat. Memang sangat menyeksakan tetapi terpaksa juga kononnya mengikut protokol.

Saya fikir peraturan yang baharu itu sangat bermakna dalam konteks meraikan kemerdekaan yang sebenar. Kot dan tali leher boleh difahami sebagai mendokong pemikiran yang tidak merdeka. Hal itu kerana kita mempunyai seni dan adab dalam berpakaian yang reka bentuknya lebih berjiwa dan selesa kepada pemakainya.

Kemerdekaan semestinya diraikan dengan semangat dan pemikiran yang juga merdeka.

Sebenarnya tidak diketahui siapakah yang mula-mula memberikan taraf rasmi pada pakaian yang dibawa dari alam budaya dan geografi yang begitu asing dengan wilayah Kepulauan Melayu dulu. Akan tetapi suatu yang pasti adalah berlaku sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Tetapi tidak mengapa, yang lalu itu biarlah berlalu. Kita yang menjadi penggerak generasi hari ini mesti memulakan sesuatu yang difikirkan baik sebagai pelestarian budaya serta memberi makna merdeka yang sebenarnya. Batik membawa kita menemukan merdeka dari dalam jiwa.

Selepas ini usaha perlu lebih tertumpu untuk membangkitkan kebanggaan mengenakan pakaian batik. Rasa seperti itu sangat penting supaya untuk jangka masa yang panjang kakitangan awam tidak akan rasa terbeban dengan peraturan. Sebaliknya mereka melakukan kerana kebanggaan.

Memang tepat sekali langkah kerajaan dalam usaha mengungkapkan kembali falsafah tinggi nenek moyang kita (di Gugusan Kepulauan Melayu Nusantara) yang dialirkan melalui seni batik. Tentulah ketinggian falsafah itu tenggelam atau dilupakan sekiranya batik tidak diletak kembali secara rasmi dalam masyarakat.

Sekalipun wujud perbezaan daripada sudut corak antara batik Malaysia dengan Indonesia misalnya, akan tetapi batik adalah cerminan hubungan manusia dengan alam. Motif alam Nusantara terutama tumbuh-tumbuhan menjadi ciri terpenting dalam seni batik. Misalnya motif rebung, bunga dan daun yang melingkari alam kehidupan silam.

Dalam kehidupan moden yang semakin berjarak dengan alam, malah sudah sukar untuk menikmati alam yang semula jadi kesan daripada pembangunan tidak terpimpin. Keaslian motif alam dalam seni batik menunjukkan kehidupan silam yang saling bertautan antara manusa dengan alam.

Ayuh, kita memerdekakan jiwa dengan batik. Dan batik adalah milik bersama semua rakyat Malaysia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas