Berita

Masjid Wilayah Persekutuan santuni komuniti bukan Islam

AHLI Jawatankuasa Masjid Wilayah Persekutuan mengedarkan poster program Rahmah 4 All 2019 kepada penduduk bukan Islam di sekitar Kuala Lumpur.
- Diterbit 26 Oktober 2019 9:39 AM MYT

MASJID Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini telah melaksanakan aktiviti menyantuni masyarakat bukan Islam dengan mengedarkan risalah dan poster hebahan jemputan ke program Hari Terbuka Masjid Wilayah Persekutuan”Rahmah 4 All”2019 yang bakal diadakan pada 2 November ini.

Lokasi yang menjadi tumpuan ialah kawasan kejiranan sekitar Masjid Wilayah dan rumah-rumah ibadah orang bukan Islam.

Program bertemakan”Rahmah 4 All”ini bakal dilaksanakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama pelbagai rakan strategik pada 2 November ini (Sabtu) pukul 7 pagi hingga 4 petang bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan.

Majlis perasmian program itu dijadual disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Melalui inisiatif ini, Masjid Wilayah Persekutuan berjaya memainkan peranan membuka pintu kemesraan dan mengalu-alukan kehadiran orang bukan Islam untuk melawat dan mendekati masjid supaya mereka mendapat informasi mengenai keindahan Islam.

Sesuai dengan statusnya sebagai sebuah masjid negeri, melalui program ini, Masjid Wilayah Persekutuan akan dikenali sebagai masjid yang terbuka dan mudah didekati oleh semua kaum dan agama.

Pendekatan ini juga dapat menghakis pandangan bahawa masjid hanyalah sebagai tempat ibadah semata-mata.

Hari Terbuka Masjid ini juga adalah sebagai galakan kepada golongan bukan Islam untuk mengenali Islam dengan cara yang berhikmah.

Terdapat pelbagai acara yang telah disediakan sepanjang program ini berlangsung sesuai untuk segenap lapisan masyarakat di Malaysia seperti Jom Fit Tai Chi, Lawatan Masjid, Peace Walk and Peace Talk bersama YB Menteri dan pertandingan Fotografi.

Selain itu, turut diadakan Pertandingan Khat dan Kaligrafi Cina, Sudut Perkahwinan Tradisional Melayu, Memanah Tradisional, Zon kanak-Kanak, Pameran Kegunaan dan Keselamatan Dron serta aktiviti pameran daripada pelbagai agensi dan gerai jualan.

Bertambah menarik, persembahan pembukaan program akan diserikan dengan pertunjukan seni bela diri Melayu, Cina dan India.

http://www.examitpass.com

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas