Berita

Mangsa amang seksual diminta tampil buat laporan polis

petang semalam.
- Diterbit 20 Februari 2020 9:34 AM MYT

SHAH ALAM – Mana-mana mangsa yang pernah menerima gangguan seksual terutama sekitar Bandar Sultan Sulaiman, Klang supaya tampil membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, perkara itu susulan tertangkapnya suspek lelaki yang disyaki terbabit dalam kes yang menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun di Flat Kelompok Camar, petang semalam.

INILAH suspek kes amang seksual membabitkan budak perempuan 8 tahun di Flat Kelompok Camar, petang semalam.

“Kira-kira pukul 2 petang itu, kanak-kanak berkenaan yang mahu pulang ke rumah selepas membeli air ditahan seorang lelaki.

“Lelaki berusia 21 tahun itu bertindak menutup mulut mangsa dan memberi amaran supaya mangsa tidak menjerit.

“Untuk menakutkan mangsa juga, lelaki terbabit mendakwa dia mempunyai pisau dan mengugut mahu cederakan mangsa jika tidak mengikut arahan,” katanya kepada Wilayahku di sini hari ini.

Nurulhuda berkata, mangsa bagaimanapun bertindak berani menggigit tangan serta menendang kaki suspek sebelum berjaya melarikan diri.

Katanya, mangsa terus memberitahu penduduk sekitar lokasi kejadian dan suspek berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Kita minta mana-mana mangsa yang pernah diganggu seperti itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Azirah Abd Aziz di talian 03-3290 2222.

“Suspek kini ditahan reman lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas