Berita

Makanan, keperluan harian dihantar awal ke kawasan pedalaman di Sarawak

- Diterbit 15 Januari 2021 8:23 AM MYT

BEKALAN makanan dan keperluan harian yang tahan lama telah dihantar lebih awal ke kawasan pedalaman Sarawak khususnya di kawasan yang berisiko dilanda banjir, kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mohtar Samat.

Beliau berkata persiapan itu diambil agar barangan berkenaan dapat diagihkan segera kepada mangsa terlibat sekiranya berlaku banjir di kawasan kampung yang jauh, khususnya di kawasan pedalaman.

“Pihak APM bekerjasama dengan pejabat residen, pejabat daerah dan agensi penyelamat seperti bomba, polis dan syarikat bot ekspres untuk menghantar barang-barang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di daerah Bau dekat sini hari ini.

Mohtar berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menyediakan bekalan makanan mencukupi untuk dihantar dan diedarkan kepada mangsa banjir.

Sementara itu, beliau berkata lima atau enam pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Bau mungkin ditutup hari ini bergantung kepada keadaan cuaca.

Mohtar turut memuji sikap ketua masyarakat dan ketua kampung di negeri ini yang membantu melancarkan tugas agensi terlibat dengan memastikan penduduk kampung berpindah segera ke PPS apabila diarahkan berbuat demikian.

Setakat tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir di daerah Bau terus mencatat penurunan dengan hanya 10 PPS dibuka berbanding 17 buah semalam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas