Berita

Mahkamah Persekutuan berhak batal undang-undang sivil, syariah jika bercanggah Perlembagaan

- Diterbit 11 Februari 2024 11:00 AM MYT

MAHKAMAH Persekutuan, mahkamah tertinggi negara, mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan undang-undang sivil dan undang-undang syariah jika bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, dalam keputusan bersejarahnya, Mahkamah Persekutuan pernah mengisytiharkan beberapa undang-undang sivil sebagai tidak berperlembagaan.

Antaranya Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013, Seksyen 498 Kanun Keseksaan berkaitan kes lelaki yang menggoda isteri orang dan kes dadah membabitkan satu peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Pada Jumaat lepas, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan meliputi kesalahan sama.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu dalam petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Bagi Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) Noorazmir Zakaria, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berkaitan tafsiran mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan selain mendengar rayuan.

“Sekiranya ada pertikaian membabitkan sesama negeri atau antara mana-mana negeri dan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan boleh mendengar pertikaian tersebut.

“Begitu juga jika wujud mana-mana cabaran berkaitan undang-undang bertulis yang dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau berkaitan dengan tafsiran Mahkamah Persekutuan boleh dibawa ke mahkamah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata undang-undang yang digubal oleh Parlimen juga boleh dicabar di Mahkamah Persekutuan jika bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin pula berkata Mahkamah Persekutuan berperanan mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan berkaitan undang-undang jenayah, sivil dan syariah.

“Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes di Mahkamah Syariah contohnya kes perceraian. Ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.

Senada dengan beliau, peguam Siti Nor Syahidah Ismail berkata Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa asal untuk memutuskan kesahihan sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau mana-mana negeri.

Pada 27 Jun 2023, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan pindaan terhadap Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 sebagai terbatal dan tidak sah selepas memutuskan ia kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam.

Pada 15 Dis 2023, mahkamah tertinggi negara itu turut memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan berkaitan pertuduhan terhadap lelaki yang menggoda isteri orang selepas memutuskan ia tidak berperlembagaan.

Mahkamah itu berpendapat seksyen tersebut adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina yang bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 5 April 2019, Mahkamah Persekutuan juga bertindak memansuhkan Seksyen 37A ADB 1952 yang membolehkan ‘anggapan berganda’ diguna pakai untuk mensabitkan seseorang tertuduh kerana mengedar dadah.

Mahkamah itu mengisytiharkan bahawa Seksyen 37A bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana melanggar Perkara 5(1) dibaca bersama Perkara 8(1).

Perkara 5(1) menyebut tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang manakala Perkara 8(1) menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Mahkamah berpendapat seksyen itu melanggar anggapan tidak bersalah kerana membolehkan seseorang tertuduh disabitkan sedangkan keraguan yang munasabah mungkin wujud. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas