Berita

LTTE masih disenarai kumpulan pengganas – Muhyiddin

- Diterbit 22 Februari 2020 2:13 PM MYT

PUTRAJAYA – Penyenaraian Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas adalah terlakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Justeru tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang- undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.

Beliau menyatakan, kerajaan Malaysia telah menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas sejak 12 November 2014.

“Berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada pihak berkuasa, saya selaku Menteri Dalam Negeri mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas.

“Kumpulan ini dipercayai masih
mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas semalam berhubung keputusannya menghentikan prosiding jenayah di mahkamah terhadap individu-individu yang menyokong kumpulan LTTE pada 21 Februari 2020.

Peguam Negara turut menggesa beliau selaku Menteri Dalam Negeri mengkaji semula kedudukan LTTE sebagai kumpulan pengganas

Muhyiddin menegaskan bahawa menurut Seksyen 66B(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk menyenaraikan individu
atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan keganasan sebagai Entiti Yang Ditentukan (specified entity).

“Penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa seperti PDRM dan lain-lain agensi kawal selia atau pengawasan yang berkaitan,” katanya.

Justeru beliau berkata, menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan dengan kumpulan ini.

“Untuk rekod, selain Malaysia, beberapa buah negara lain turut mengisytiharkan dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara masing-masing antaranya India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas