Berita

Liga Super: Safee kecewa penyerang tempatan kurang bermain

- Diterbit 29 Mac 2023 3:15 PM MYT

BEKAS penyerang kebangsaan Safee Sali hampa apabila penyerang tempatan kurang mendapat minit permainan dalam saingan Liga Super 2023 setakat ini.

Safee yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor berkata situasi itu boleh membawa keburukan kepada skuad Harimau Malaya dalam melahirkan penyerang berkualiti selepas kebanyakan pasukan Liga Super lebih bergantung kepada kudrat penyerang import dalam saingan tersebut.

“Untuk kebaikan pasukan negara saya harapkan akan ada banyak lagi penyerang tempatan diturunkan dalam liga selepas ini.

“Sekiranya penyerang tempatan diturunkan, saya percaya ia dapat meningkatkan keyakinan pemain dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Orang Kurang Upaya penglihatan dan orang kerdil anjuran Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) di sini hari ini.

Selepas lima perlawanan Liga Super musim ini, hanya pemain sayap sensasi JDT Arif Aiman Mohd Hanapi yang berjaya mengisi kelompok 10 penjaring teratas dengan berada di tempat ketiga menerusi tiga gol.

Rakan sepasukan Arif Aiman, Fernando Martin Forestieri yang merupakan penyerang kelahiran Argentina mengungguli carta penjaring terbanyak dengan lima gol sehingga kini.

Sementara itu, Safee yang juga Presiden PFAM berkata majlis itu dianjurkan bagi memberi sumbangan termasuk duit raya kepada golongan memerlukan termasuk mereka yang diraikan hari ini.

“Majlis ini merupakan peluang kepada kami dan pemain untuk menambah pahala dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas