Berita

“Latihan atlet tetap diteruskan,” – Hasnul

LARIAN Bendera Wilayah Persekutuan dan Queen's Baton Sukan Komanwel 2022 sepanjang 10 kilometer bermula di Menara Seri Wilayah dan berakhir di Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini, hari ini.
- Diterbit 23 Januari 2022 6:58 AM MYT

BIARPUN keputusan rasmi tarikh dan lokasi Sukan Malaysia 2022 (SUKMA) masih belum ditentukan, persiapan dan persediaan atlet Wilayah Persekutuan menghadapi kejohonan ini dijalankan seperti biasa.

Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Dr Hasnul Faizal Hushin Amri menekankan kesemua 700 atlet yang bertanding perlu meneruskan latihan seperti biasa walaupun kejohanan ini berlangsung atau tidak.

“Sama ada SUKMA diadakan atau tidak, latihan tetap diteruskan.

“Persiapan atlet Kontinjen WP sudah bermula sejak dua tahun lalu selepas berakhirnya SUKMA Perak pada September 2018.Persediaan ini sebenarnya untuk menghadapi temasya SUKMA pada 2020 di Johor namun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia telah ditangguhkan beberapa kali sehinggalah ke tahun ini,” Katanya ketika ditemui Wilayahku.

Tambahnya, bagi menguatkan latihan kecergasan aktiviti fizikal dan mental atlet, MSWP telah melantik 103 jurulatih untuk disambung kontrak berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Mengulas mengenai status terkini SUKMA 2022, Hasnul berkata, tarikh pelaksanaan temasya masih dikekalkan pada tarikh Jun, Julai dan Ogos tahun ini namun ia tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

“Di pihak MSWP, kita masih berpegang pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. Buat masa ini, lokasi dan tarikh sebenar masih belum diketahui.

“Bagi acara yang akan dipertandingkan pula, keputusan setakat ini kami dapati ada 31 sukan tersenarai walau bagaimanapun keputusan dibuat oleh MOM, ia mungkin boleh berkurang atau dikekalkan. Sekiranya pengurangan itu berlaku, ia akan turut menjejaskan penguguran penyertaan atlet-atlet terlibat ,” Jelasnya lagi.

Terdahulu, beliau telah mengikuti Larian Bendera Wilayah Persekutuan dan Queen’s Baton Sukan Komanwel 2022 sepanjang 10 kilometer bermula di Menara Seri Wilayah dan berakhir di Kompleks Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Acara larian sambil membawa bendera Wilayah dan Malaysia ini diadakan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2022 dengan melibatkan penyertaan daripada 16 atlet dan jurulatih yang pernah merangkul pingat pada Sukan Komanwel sebelum ini.

Selain itu, acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Polis Daerah Putrajaya dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay selaku pihak bertanggungjawab yang menyerahkan Queen’s Baton kepada Timbalan Ketua Setiausaha WP, Datuk Parang Abai @ Thomas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas