Selera

Kurma santapan Ramadan

- Diterbit 15 Mac 2024 10:15 AM MYT

KURMA merupakan makanan sunnah yang memiliki pelbagai khasiat semula jadi. Malah, pada bulan Ramadan, masyarakat disaran untuk mengambil tiga biji kurma bersaiz sederhana untuk satu hidangan.

Penyelidik Pascasiswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ijazah Sarjana Pemakanan Klinikal, Fatin Umairah Mohd Keri berkata kurma mengandungi jumlah serat yang baik untuk sistem penghadaman.

“Ia bukan sahaja membekalkan tenaga kepada seseorang untuk satu hidangan bersamaan 80 kalori tetapi ia juga berada di bawah kategori karbohidrat bagi tenaga segera.

“Ramadan ini, berbuka puasa dahulu dengan kurma dan air atau susu sangat bagus untuk menggantikan simpanan glikogen (bentuk simpanan tenaga dalam badan),” ujarnya.

Tambahnya, saranan pengambilan kurma adalah antara tiga biji saiz kecil sederhana atau dua biji saiz jumbo.

Sementara itu, Pegawai Dietetik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jazeera Julaili berkata kurma merupakan sejenis buah yang kaya dengan potasium dan magnesium yang mengandungi vitamin B6 serta serat yang tinggi.

“Kandungan nutrisi yang ada di dalam kurma kebanyakannya datang daripada karbohidrat atau lebih spesifik glukosa dan fruktosa di mana ia tidak akan meningkatkan berat badan malah meningkatkan kesihatan dan kecergasan seseorang.

“Pada Ramadan ini, ia lebih senang dihadam ketika waktu berbuka kerana akan membantu pengeluaran Gastrin Juice dalam usus. Tiga biji kurma mempunyai lebih kurang 30 hingga 45 gram karbohidrat dan ia juga mempunyai potassium yang tinggi maka apabila berbuka elekroklyte yang hilang dapat diganti semula,” katanya.

Untuk itu, jom kita kenali jenis kurma yang menjadi pilihan ramai terutamanya ketika bulan Ramadan!

KURMA AJWA

KURMA Ajwa disebut sebagai kurma Nabi kerana ia dipercayai menjadi kegemaran Rasulullah SAW. Permintaan buah kurma Ajwa ini sememangnya tinggi terutama di pasaran Malaysia kerana tekstur isinya yang lebut, manis serta bersaiz kecil.

KURMA MEDJOL

KURMA Medjol adalah antara jenis kurma yang paling mahal kerana ia sukar ditanam, bersaiz besar dan tumbuh di iklim yang panas kering seperti Timur Tengah dan Afrika. Khasiat buah kurma ini juga tinggi di mana ia mengandungi serat dan mineral penting seperti kalium dan magnesium. Buah ini juga digelar Kurma Berlian kerana memiliki kulit berwarna coklat gelap hingga merah kecoklatan dengan tekstur yang berserabut.

KURMA SAFAWI

KURMA Safawi terkenal di Madinah dan Mekah. Ia dikenali daripada warnanya yang hitam mendalam, panjang serta bersaiz sederhana. Ia juga adalah sejenis kurma yang lembut dan separa kering. Ada yang mengatakan ia mempunyai rasa yang agak sama dengan kurma Ajwa namun bentuknya lebih oblong (bujur) berbanding kurma Ajwa. Kurma ini juga cukup terkenal dan mudah didapati sepanjang tahun berbanding jenis kurma lain.

KURMA DEGLET NOUR

Kurma or dates on wooden background prepared for Ramadan

KURMA Deglet Nour (kurma bertangkai) berwarna kemerahan hingga kekuningan, rasanya juga halus meski tidak semanis dan selembab kurma Medjol. Buah ini kebanyakannya ditanam di Afrika Utara dan uniknya biji dalam isi buah ini boleh dilihat saat kurma didekatkan dengan cahaya. Di Malaysia pula, kurma ini dijual dalam bentuk bertangkai dan merupakan antara jenis yang cukup terkenal di pasaran dan akan diperluaskan.

KURMA MABROOM

KURMA Mabroom adalah buah yang kebanyakannya ditanam di Semenanjung Barat Arab Saudi. Ia memiliki buah yang ramping, panjang dan padat serta rasanya tidak terlalu manis. Kurma ini kaya dengan serat, vitamin dan mineral.

WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas