Artikel

Kuarantin penyakit HFMD sama seperti COVID-19

PENYAKIT HFMD disebabkan oleh virus yang dikenali sebagai enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (COX A16) dan Enterovirus 71 (EV 71).
- Diterbit 20 Mei 2022 3:48 AM MYT

JANGKITAN penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak kembali menular dalam julat angka begitu tinggi dalam tempoh beberapa minggu berbanding tahun lalu.

Pada tahun ini sehingga penghujung April lalu, sebanyak 22,463 kes HFMD dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara berbanding 1,752 pada tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan hampir 13 kali ganda.

Sepanjang tahun ini juga sejumlah 767 wabak dalam lokaliti setempat direkodkan, tiga negeri tertinggi yang melaporkan kes HFMD ialah Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Perak.

HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang 12 tahun tetapi pesakit kurang enam tahun adalah majoriti dijangkiti.

Ia ditandai demam panas, diikuti ruam lepuh (blister) pada bahagian mulut, tangan dan kaki. Gejala lain termasuk letih dan tidak bermaya.

Akibat ruam lepuh kemudian menjadi ulser di dalam mulut, pesakit kanak-kanak biasanya enggan mengambil makanan dan mengalami kesukaran untuk menelan.

Dari segi klinikal, meskipun gejala dan impak HFMD tidak teruk berbanding jangkitan COVID-19, demam panas dalam kalangan pesakit HFMD terdedah kepada risiko sawan dan komplikasi sistem saraf jika gagal dirawat sebaik-baiknya.

Sebahagian kecil pula boleh mendapat komplikasi serius, iaitu radang pada jantung, paru-paru atau otak yang memerlukan rawatan intensif serta terdedah kepada risiko kematian.

HFMD ditularkan melalui sentuhan cecair tubuh seperti air liur, hingus, kahak dan najis mereka dijangkiti atau kontaminasi silang dengan permukaan tercemar oleh cecair badan berkenaan.

Jika dibandingkan penularan COVID-19 melalui sentuhan cecair dari mulut dan hidung serta kemungkinan melalui udara dalam ruang tertutup, HFMD lebih banyak disumbangkan melalui sentuhan fizikal dengan permukaan tercemar daripada mereka sudah dijangkiti serta tidak menitikberatkan kebersihan.

Hal ini memerlukan kefahaman masyarakat sudah dibiasakan dengan pencegahan COVID-19 tetapi terlupa dengan kemungkinan jangkitan lain, terutama HFMD.

Disebabkan ia boleh ditularkan melalui najis, kebersihan di tempat persalinan bayi di tandas atau tempat awam serta aspek penukaran lampin pakai buang perlu dilakukan dengan berhatihati serta menurut garis panduan disyorkan.

Ibu bapa atau penjaga diingatkan membersihkan kanakkanak dengan air dan sabun selepas buang air kecil, besar atau menukar lampin pakai buang, selain turut membersihkan tangan mereka sendiri.

Malah, kanak-kanak berkenaan juga perlu dilap hingga kering bagi memastikan permukaan itu benar-benar bersih, manakala penggunaan tisu basah dan hand sanitizer sahaja tidak disyorkan sama sekali kerana tidak memadai.

Sempena musim rumah terbuka Syawal ini, ibu bapa yang anak mereka disahkan diagnosis HFMD perlu mengamalkan kuarantin, iaitu tidak membawa anak mereka keluar dari rumah untuk berjalanjalan ke tempat awam seperti pusat beli-belah, balik kampung, beraya dan tempat rekreasi.

Hakikatnya, kuarantin HFMD juga sama seperti COVID-19, iaitu keluar dari tempat kuarantin adalah tidak dibenarkan.

Ibu bapa atau penjaga diberi cuti kuarantin perlu memanfaatkannya untuk memberikan tumpuan penuh terhadap rawatan anak dijangkiti HFMD. Cuti kuarantin bermaksud tinggal di rumah seperti diarahkan hingga anak pulih sepenuhnya dan bebas daripada tanda serta gejala HFMD.

Melanggar arahan kuarantin bermakna sengaja menyebarkan jangkitan HFMD kepada masyarakat. Laporan tidak rasmi di lapangan menunjukkan ada individu memanfaatkan cuti kuarantin untuk terus ‘memeriahkan’ sambutan hari raya.

Ketiadaan sistem pemantauan dalam MySejahtera untuk mengawasi pergerakan mereka yang dijangkiti turut membolehkan jangkitan terus berlaku meskipun cuti kuarantin diberikan.

Oleh itu, individu diberi cuti kuarantin perlu mengambil sikap bertanggungjawab demi mengelakkan penularan terus berlaku termasuk di tempat kerja. Kita sangat mengharapkan sifat amanah dan tanggungjawab dalam kalangan ibu bapa serta semua terbabit dalam membantu mengekang penularan.

Bagi tujuan pencegahan, ibu bapa yang mempunyai anak masih sihat dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membawa anak ke tempat tumpuan awam atau kawasan mempunyai banyak interaksi fizikal dengan elemen persekitaran seperti taman permainan.

Ini kerana terdapat kemungkinan individu dijangkiti HFMD bermain di kawasan berkenaan hingga meninggalkan sebahagian cecair tubuh.

Penulis adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas