Berita

KTMB rugi lebih RM2.4 juta akibat kren tumbang kerana kecuaian kontraktor

- Diterbit 4 Januari 2024 3:51 PM MYT

KECUAIAN kontraktor dikenal pasti menjadi punca berlakunya insiden kren tumbang di atas landasan kereta api di Rawang pada 12 Dis lepas hingga mengakibatkan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) kerugian lebih RM2.4 juta, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Mendedahkan hasil siasatan insiden itu hari ini, beliau berkata pihak kontraktor gagal memastikan kawasan kerja selamat kerana telah memasuki kawasan larangan tapak kerja yang tidak kukuh dan berlecak hingga menyebabkan kren menjadi condong ke atas landasan.

“Kawasan kren dibenar operasi adalah di luar (daripada kawasan kren jatuh) iaitu pada waktu tengah hari tetapi semasa pihak penguasa Jabatan Kerja Raya (JKR) bermesyuarat, kontraktor atau jentera itu telah curi masuk ke zon bahaya tanpa kebenaran.

“Ia tanpa disedari pihak JKR, mereka telah masuk pada waktu petang pada hari sama. Ini merupakan punca insiden berlaku apabila pihak kontraktor masuk ke kawsan zon bahaya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada 12 Dis 2023, perkhidmatan tren KTMB Komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS) mengalami gangguan perjalanan disebabkan kren yang digunakan untuk pembinaan projek parkir bertingkat Perbadanan Aset Keretapi (RAC) tumbang di atas landasan kereta api di antara Rawang dan Kuang pada kira-kira 5.53 petang.

Ekoran insiden itu, Loke berkata KTMB menghadapi banyak kesulitan kerana ia mengganggu operasi tren yang melibatkan lebih 20,000 penumpang ETS dan komuter.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan memandang serius sikap kontraktor yang mengabaikan keselamatan dalam melaksanakan kerja kerana tindakan masuk ke kawasan larangan boleh menyebabkan insiden kemalangan besar berlaku.

“Saya merasakan negara bernasib baik pada hari kejadian kerana tidak ada tren yang melalui kawasan tersebut pada ketika itu. Bayangkan kalau ada satu tren sama ada komuter atau ETS, kren jatuh dan kereta api langgar, apa yang akan berlaku adalah satu tragedi,” katanya.

Beliau berkata kontraktor berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan kerja di kawasan itu sehingga siasatan lanjut dilaksanakan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Beliau berkata APAD sedang melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan diambil di bawah Seksyen 128 (1)(a) Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715 APAD) sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

Loke turut mengingatkan kontraktor yang melakukan kerja pembinaan di kawasan landasan kereta api untuk mematuhi arahan serta tidak mengabaikan aspek keselamatan sewaktu bekerja.

“Saya ingin membuat teguran secara terbuka dan amaran kepada semua kontraktor supaya jangan pandang remeh isu keselamatan, mesti ikut syarat yang ditetapkan.

“Jangan sesekali masuk ke dalam kawasan larangan kereta api. Ini antara hidup dan mati, soal nyawa manusia. You nak senangkan kerja itu, kamu mungkin merisikokan nyawa manusia. Jadi ini satu perkara yang amat serius,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas