Berita

Khidmat bas Go KL diperluaskan, terbaharu Laluan Coklat

- Diterbit 16 Februari 2021 3:50 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Rapid Bus Sdn Bhd memperluaskan lagi perkhidmatan Bas Go KL dengan membuka laluan kesembilan yang dikenali sebagai Laluan Coklat (Chocolate Line) bagi menghubungkan kawasan perumahan awam dengan beberapa lokasi strategik.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata perkhidmatan bas percuma itu melibatkan laluan sepanjang 14 kilometer bermula dari Seksyen 10 Wangsa Maju, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Taman Tasik Sri Rampai, menghala stesen transit LRT Sri Rampai dan kawasan-kawasan di sekitarnya.

Selain itu, menurut beliau, laluan coklat itu yang melibatkan Perumahan Awam Setapak Jaya 1A juga akan menghubungkan pusat tumpuan orang ramai seperti Medan Selera D’Rejang, Masjid Abu Ubaidah dan pusat beli-belah seperti AEON BIG dan Wangsa Walk.

“Dengan kekerapan bas setiap 15 minit, perkhidmatan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada warga kota ke stesen LRT dan ke tempat kerja terutamanya kepada golongan B40,” menurut beliau.

Dalam pada itu, Annuar berkata jumlah penumpang perkhidmatan Bas GO KL pada tahun lepas menurun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19.

Katanya pada tahun 2020, jumlah penumpang direkodkan seramai 9.7 juta orang dengan purata 27,000 penumpang sehari berbanding 2019 seramai 19.7 juta orang dengan purata 55,000 penumpang sehari.

Terdahulu, pelancaran laluan baharu Bas GO KL itu dilakukan secara langsung dalam talian menerusi platform Facebook rasmi DBKL. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas