Berita

Ketua Perangkawan Pertama Malaysia meninggal dunia di Amerika

KREDIT foto: Facebook Department of Statistics, Malaysia.
- Diterbit 15 November 2023 1:35 PM MYT

KETUA Perangkawan pertama negara Datuk Ramesh Chander meninggal dunia kira-kira pukul 2.50 pagi (waktu Malaysia), pada Selasa (14 November) di Amerika Syarikat.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, mendiang yang meninggal pada usia 88 tahun menyandang jawatan itu selama 11 tahun, bermula 1 Januari 1966 hingga 31 Disember 1977.

“Sepanjang menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), mendiang berjaya membangunkan sistem perangkaan yang masih digunakan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata antara jasa mendiang ialah mempelopori penggunaan tinjauan isi rumah bersepadu untuk pengumpulan maklumat bagi menganalisis kemiskinan dan penyusunan petunjuk sosioekonomi.

Menurut beliau mendiang juga merupakan Pesuruhjaya Banci pertama dan telah melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan selepas merdeka pada 1970 serta terlibat dalam membangunkan rangka kerja untuk pemantauan sasaran dan matlamat Dasar Ekonomi Baru.

Mohd Uzir berkata semasa perkhidmatan, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu sangat aktif menonjolkan peranan DOSM di rantau Asia dan peringkat antarabangsa.

Antara penglibatan mendiang ialah menjadi Pengerusi pada Persidangan Ahli Perangkaan Asia, mewakili Malaysia di Persidangan Perangkawan Komanwel, ahli pengasas Institut Statistik untuk Asia dan Pasifik (SIAP) serta ahli jawatankuasa teknikal Kajian Kesuburan Dunia, katanya.

Beliau berkata mendiang turut aktif memperjuangkan statistik dalam komuniti pencinta statistik walaupun pada usia emas, dengan menghadiri beberapa forum seperti Webinar: Counting Everyone for a Better Tomorrow pada 7 Julai 2020, Seminar Statistik Kependudukan (14 Februari 2022) dan Corruption In Malaysia : Who Will Bell the Cat? (28 April 2021).

Mohd Uzir yang mewakili seluruh warga DOSM menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan berharap mereka terus tabah serta bersabar dengan kehilangan mendiang.

“DOSM akan sentiasa mengingati setiap sumbangan dan bakti mendiang terutamanya dalam memperkukuhkan sistem statistik bagi membantu negara menyediakan dasar dan perancangan sosioekonomi negara,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas