Berita

Keselamatan data rakyat jadi fokus utama kerangka identiti digital nasional

- Diterbit 21 Disember 2020 5:04 AM MYT

ASPEK keselamatan data rakyat menjadi fokus utama kerajaan dalam pembangunan kerangka kerja Identiti Digital Nasional, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan sentiasa memastikan tahap kepercayaan tinggi dalam kalangan rakyat terhadap teknologi yang diperkenalkan sebelum beralih menerima transformasi digital.

“Kita (KKMM) menggunakan pendekatan ‘technologically neutral’ atau mengguna pakai apa sahaja teknologi sesuai dan terkini namun perkara ini masih dibincangkan kerana melibatkan urusan kerajaan dan keselamatan rakyat.

“Insya-Allah, Kementerian Dalam Negeri akan memastikan tidak berlaku ketirisan data,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Alan Ling Sie Kiong mengenai kemungkinan penggunaan teknologi baharu seperti Blockchain bagi melengkapi mekanisme pembangunan Identiti Digital Nasional.

Identiti Digital Nasional ialah pengesahan identiti seseorang individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan tarikh lahir.

Selain itu, Saifuddin berkata satu pasukan gerak kerja diketuai Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia ditubuhkan bagi mencari jalan penyelesaian melibatkan aspek keselamatan data.

“Ia melibatkan soal keselamatan yang harus diambil kira dengan cara sebaik mungkin,” kata Saifuddin.

Ketika menjawab soalan asal Ling mengenai sejauh mana pelaksanaan inisiatif ldentiti Digital Nasional dalam usaha untuk membanteras masalah siber, Saifuddin berkata ldentiti Digital Nasional berpotensi mengelak berlakunya jenayah pemalsuan serta penipuan identiti secara dalam talian.

Mengenai peranan inisiatif itu dalam memenuhi keperluan khususnya dalam perkhidmatan awam dan swasta, Saifuddin berkata urusan melibatkan pengesahan indentiti seseorang individu dapat dilakukan secara dalam talian dengan cepat, mudah, selamat, terlindung serta terjamin sebagai tambahan kepada MyKad secara fizikal.

“Identiti Digital Nasional amatlah penting bagi membolehkan kesalinghubungan pelbagai sistem transaksi bagi memudahkan pengguna berurusan di mana sahaja pada bila-bila masa,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas