Berita

KEROSAKAN ALAM SEKITAR, RASAI KESANNYA MELALUI EMPAT FILEM INI

FOTO- SHUTTERSTOCK
- Diterbit 9 Januari 2022 2:00 AM MYT

PENGHUJUNG tahun 2021 dan permulaan tahun 2022 kita dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di sekitar semenanjung seperti banjir dan tanah runtuh. Banjir di Pahang jelas menunjukkan kesan daripada aktiviti pembalakan yang berlaku sama ada secara haram atau berlesen. Puluhan rumah musnah akibat dibawa arus deras dan dipukul oleh kayu balak yang dibawa banjir. Minggu ini, Wilayahku kongsikan empat filem berkaitan kerosakan alam sekitar dan kepentingan dalam menjaganya.

#1 Before The Flood

Pengarah: Fisher Stevens
Pelakon: Leonardo DiCaprio, Barack Obama, John Kerry

MENCERITAKAN kisah perubahan iklim akibat tindakan manusia yang memberi kesan kepada alam sekitar dengan beberapa bukti yang telah berlaku kini. Filem ini juga memaparkan bagaimana kerajaan dunia tidak percaya kepada perubahan iklim dan menentang pandangan para ilmuwan tentang perubahan iklim. Walaupun ia dikeluarkan pada tahun 2016 namun filem ini masih dan akan terus relevan dengan krisis iklim dunia.

#2 A Plastic Ocean

Pengarah: Craig Leeson
Pelakon: Craig Leeson, TanyaStreeter, Jo Ruxton

DOKUMENTARI ini menunjukkan realiti di mana sisa plastik yang banyak memasuki lautan, merosakkan rumah untuk penduduk marin, mengubah rantaian makanan dan menyebabkan kematian haiwan laut. Pengembara Craig Leeson dan Tanya Streeter bekerjasama dengan pasukan saintis dan penyelidik antarabangsa untuk mengungkap sejumlah besar sisa plastik yang berada di lautan dan pantai merangkumi 20 lokasi selama empat tahun.

#3 The True Cost

Pengarah: Andrew Morgan
Pelakon: Stella McCartney, Vandana Shiva

THE TRUE COST merupakan sebuah filem kewartawanan penyiasatan oleh Andrew Morgan yang mendedahkan penyumbang utama pencemaran, sisa dan penggunaan ialah industri fesyen. Ini adalah mengenai kos pembuatan pakaian manusia, mendedahkan gaji rendah dan layanan buruk kepada para pekerja. Dokumentari selama 92 minit ini mengisahkan pekerja kilang pakaian di Bangladesh dan Kemboja. Sistem perniagaan runcit yang lemah dan model dalam bidang fesyen membuat pekerja menanggung penderitaan pakaian murah. Bermula dari proses dan penggunaan bahan yang tidak selamat untuk kesihatan dan alam sekitar.

#4 Bee Movie

Pengarah: Simon J. Smith, Steve Hickner
Pelakon: Jerry Seinfeld, Patrick Warbuton, Renee Zellweger

FILEM animasi keluarga ini mengisahkan Barry, seekor lebah yang berkawan dengan seorang manusia, Vanessa. Mengikuti Vanessa ke pusat beli-belah, Barry mengetahui bahawa madu yang dibuat oleh lebah telah dicuri manusia. Honey Farm merupakan syarikat memproses madu yang sanggup merosakkan alam sekitar demi mendapatkan madu segar. Cerita ini juga berkisar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Sikap tamak yang ada pada perusahaan madu tersebut akhirnya merosakkan alam sekitar dan habitat lebah seterusnya menyebabkan tiada lagi madu dapat dihasilkan akibat kepupusan lebah.

-WILAYAHKU-

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas