Artikel

Kereta ‘lawan’ bas

- Diterbit 1 Disember 2023 1:50 AM MYT

BERAPA ramai dalam kalangan pengguna jalan raya prihatin dan bertimbang rasa apabila memarkir kenderaan? Adakah meletakkannya di kawasan yang disediakan atau bersikap tidak peduli dengan memarkir sesuka hati sehingga menghalang pergerakan kenderaan lain?

Kawan-kawan Kedai Kopi timbulkan isu ini ekoran laporan media baru-baru ini mengenai sebuah kereta diletak di persimpangan sebatang jalan di Ampang sehingga pergerakan bas tersangkut.

Berdasarkan video tular, ruang laluan menjadi terlalu sempit, tidak cukup untuk badan bas yang besar dan panjang itu melepasinya walau dicuba beberapa kali.

Tiada cara lain, dan pemiliknya entah di mana, orang ramai bertindak mengangkat kereta tersebut untuk dialih ke tepi jalan bagi membolehkan bas tersebut melepaskan diri. Kereta tersebut kemudian ditunda oleh trak polis. Saman juga dikeluarkan.

Sikap pemandu kereta terlibat sangat keterlaluan, tidak memikirkan kesusahan pengguna jalan yang lain. Bas adalah pengangkutan awam utama di ibu negara. Kerana itu ia harus dibiarkan bergerak selancar mungkin ketika beroperasi.

Kawan-kawan Kedai Kopi sentiasa berhati-hati apabila meletakkan kenderaan agar tidak menyebabkan gangguan dan kepayahan kepada orang lain. Tetapi terdapat segelintir pemandu bersikap buruk, hanya mementingkan diri sendiri. Mereka tidak peduli di mana dan bagaimana meletak kenderaan.

Memang sepatutnya polis bertindak terhadap pemandu seperti ini untuk menjadi pengajaran kepada semua orang agar kejadian serupa tidak berulang. Ingat, jalan raya bukan milik individu. Kerana itu jangan jadikan ia seperti harta sendiri.

Belajarlah bersikap lebih bertanggungjawab. Fikirkan sama masalah orang lain. Dalam kes ini sudah cukup baik orang ramai hanya mengangkat dan mengalih kereta berkenaan. Bagaimana jika dalam keadaan geram dan marah, mereka merosakkan kenderaan tersebut?

Kerana itu fikir dengan teliti dan berkali-kali sebelum sesuka hati meletak kenderaan, tambahan di tempat yang tidak dibenarkan. Sikap kita adalah cerminan diri. Jangan sampai orang berkata nampak hebat memiliki kereta tetapi minda tidak hebat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas