Berita

Kerangka pendidikan tinggi negara perlu berubah seiring landskap pendidikan dunia

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 7 Mac 2024 6:45 PM MYT

KERANGKA pendidikan tinggi negara ini perlu diubah mengikut kehendak semasa seiring perubahan landskap pendidikan dunia, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata kementerian amat menggalakkan semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti, menjalin kerjasama dan persefahaman dengan institusi pendidikan tinggi serta pemain industri di luar negara.

Zambry berkata langkah ini sejajar dengan dasar dan strategi pengantarabangsaan, yang dibangunkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Mustahak untuk kita melihat kerangka pendidikan tinggi, yang berubah dengan pantas dan bukan lagi berdasarkan kerangka yang lama…seluruh dunia sedang berubah dan semua insitutsi pendidikan tinggi negara perlu mengadaptasi perubahan ini.

“Misalnya dalam lawatan (rasmi) saya ke beberapa negara baru-baru ini, antara lain membuka peluang mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawat untuk mengukuhkan persefahaman dalam bidang pendidikan,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan syarikat farmaseutikal dari Korea Jeil Pharmaceutical, dalam usaha mengukuhkan lagi bidang farmaseutikal tempatan dan kajian perubatan universiti itu.

Mengulas tentang program jelajah turun padang ke IPT, Semarak Kampus MADANI atau Jerayawara KPT, Zambry berkata inisiatif itu membantu pihak kementerian melihat situasi sebenar di peringkat institusi.

Zambry berkata program itu membuka ruang untuk beliau dan KPT, mendengar sendiri keluh kesah pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi, selain memastikan aspek kebajikan penuntut dan mahasiswa serta kakitangan dititikberatkan.

“Kita menjadikan tahun ini, laksanakan program turun padang dan melawat ke IPT di bawah KPT khususnya… program ini bukan bermakna kita (KPT) tidak percaya pada pelaporan dari pihak pengurusan IPT, tetapi lebih kepada untuk melihat sendiri situasi di bawah.

Program Semarak Kampus MADANI akan menjelajah ke IPT di 16 zon seluruh negara, termasuk universiti awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti dengan Sarawak menjadi zon pertama yang dipilih KPT yang berlangsung pada 5 hingga 6 Mac. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas