Berita

Keputusan anjur Sukan Komanwel 2026 utamakan kepentingan negara, rakyat

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 21 Mac 2024 11:55 AM MYT

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh percaya keputusan yang bakal diambil oleh Jemaah Menteri berhubung penganjuran Sukan Komanwel 2026 mengutamakan kepentingan negara tanpa membelakangkan rakyat.

Hannah berkata perbincangan penganjuran temasya sukan ketiga terbesar yang dijadual diadakan dalam mesyuarat Kabinet esok itu, memerlukan penelitian terperinci dan tidak boleh diputuskan secara sambil lewa.

“Setakat ini pendirian Kerajaan Persekutuan belum diketahui tetapi saya boleh nyatakan pandangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu apa yang pasti KBS sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan nombor satu dan tidak sama sekali membazirkan wang pembayar cukai jika pun bersedia untuk menganjurkannya.

“Kita akan pastikan pendekatan konservatif diambil setiap kali ia melibatkan duit rakyat. Jika kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya, KBS mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran yang diberikan oleh CGF (Persekutuan Sukan Komanwel),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang ingin tahu pendirian kerajaan terhadap tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri.

Selain menawarkan Malaysia sebagai tuan rumah selepas Victoria menarik diri tahun lepas, CGF turut menawarkan suntikan dana 100 juta pound (RM603 juta) kepada Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah pada 1998.

Victoria menarik diri kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Mengambil kira wang pembayar cukai jika terpaksa digunakan, Hannah berkata pilihan terbaik mungkin diambil oleh kerajaan ialah untuk tidak menganjurkannya, bagaimanapun bergantung kepada keputusan Kabinet esok.

Beliau berkata KBS juga bersedia melantik badan pengawal untuk membuat audit kepada akaun penganjuran jika keputusan dibuat untuk Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 2026.

“Ini mengambil kira semua maklum balas yang telah kita teliti sejak minggu lepas, semua berita, pandangan Olimpian dan tokoh terdahulu yang menganjurkan (temasya ini). Semua memberikan pandangan mereka dan kita telah baca.

“Paling utama ialah kementerian mahu memastikan tatakelola betul diikuti, pengurusan kewangan yang telus, segala kos dan perbelanjaan direkodkan dengan teratur supaya akaun penganjuran boleh ditutup dengan pantas dan baik,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas