Berita

Kenaikan gaji bantu kelangsungan hidup

PIHAK majikan boleh mencadangkan beberapa langkah yang mampu untuk membantu pekerja. - Gambar hiasan
- Diterbit 6 Oktober 2023 3:00 AM MYT

ISU peningkatan kos sara hidup dilihat seperti ­tiada ­penghujungnya, rakyat kini ­dilihat tertekan dengan peningkatan barangan keperluan asas yang ­terpaksa ditanggung.

Pelbagai langkah atau ­mekanisme telah dilaksanakan ­kerajaan ­bagi membantu golongan kurang berkemampuan meneruskan kelangsungan hidup.

Walau bagaimanapun, antara isu yang dilihat wajar diketengahkan bagi mengatasi masalah isu kos sara hidup ialah dengan kenaikan kadar gaji minimum.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) telah mengemukakan ­cadangan mengenai gaji minimum ­penjawat awam bagi lantikan baharu ­ditetapkan pada RM1,800 ­sebulan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, ­baru-baru ini, ­media melaporkan, Anwar ­berkata kerajaan berusaha untuk ­menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan Madani kedua yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Beliau berkata ia sebagai ­langkah sementara, sehingga ­kajian menyeluruh berhubung skim ­gaji dan persaraan penjawat awam ­selesai dilakukan, yang dijangka ­pada tahun depan.

“Jadi sementara waktu saya dah bincang dengan Kementerian Kewangan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

“Saya kata kalau begitu, ­sementara kajian ditingkatkan saya cuba dalam Belanjawan Madani bulan Oktober ini, kita cuba ­naikkan dulu sedikit gaji (penjawat awam), sementara kita buat kajian menyeluruh yang boleh siap tahun depan,” katanya.

Jelas beliau, adalah menjadi dasar kerajaan ­sekiranya ada kemampuan ­untuk membuat ­pelarasan semula gaji penjawat awam setiap 10 tahun dan ia sepatutnya telah ­dilakukan dua tahun lalu.

MOHAMAD FAZLI

Dalam pada itu, pakar kewangan, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata kadar ­gaji ­minimum yang sedia ada ­kini dilihat rendah tambahan lagi ­dengan kos sara hidup yang tinggi.

Menurutnya, anggaran gaji yang dilihat munasabah adalah dari RM1,800 hingga RM2,200 bagi keselesaan semua pihak.

“Peningkatan kos sara hidup berlaku di seluruh ­dunia ketika ini, ­perbelanjaan setiap isi ­rumah berbeza-beza.

“Namun, jika ­kerajaan mampu menyemak ­semula kadar ­gaji ­minimum ia boleh menolong ­banyak pihak dalam menangani kos sara hidup,” ­katanya kepada Wilayahku, ­baru-baru ini.

Tambahnya, jika majikan hadapi masalah bagi menemui ­kata ­sepakat, mungkin pihak ­majikan boleh mencadangkan beberapa langkah yang mampu membantu pekerja.

“Mungkin di pihak ­majikan, boleh membantu ­daripada segi memberi barangan ­keperluan asas sebulan sekali, baucar minyak dan sebagainya.

“Semua perkara ini ­juga bergantung ­kepada kedudukan kewangan ­sesebuah syarikat itu ­juga,” ujarnya.

Walau ­bagaimanapun jelas beliau, ­kajian menyeluruh harus ­dilakukan sebelum sesuatu perkara dimuktamadkan.

AHMED RAZMAN

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata sistem ­gaji ­progresif, yang dilihat paling relevan untuk diamalkan di Malaysia.

Menurutnya, ia dilihat antara langkah terbaik di dalam usaha menangani masalah kos sara hidup masa kini.

“Sistem gaji progresif ­merupakan peralihan daripada model ­pemberian upah minimum kepada kenaikan ­gaji secara ­berperingkat dan ­berfasa supaya ia setanding ­dengan ­pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, ­kenaikan gaji yang lebih cepat dan bersistem bukan ­sahaja memberi ­kebaikan ­kepada pekerja malah ­menguntungkan syarikat juga.

“Bila ada kenaikan ­gaji, pekerja akan ­bekerja ­dengan lebih semangat dan rajin, produktiviti ­juga turut meningkat.

“Justeru itu, ia ­mendatangkan ­keuntungan kepada ­pihak majikan ­juga ­secara tidak langsung kepada pekerja itu sendiri,” ­katanya. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas